NATIONAL
Anwar tulis surat kepada Trump, mahu sokongan anjur Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS

Anwar telah menulis surat kepada Trump, meminta sokongan untuk menganjurkan satu pertemuan antara ASEAN dan Amerika Syarikat (AS). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya telah menulis surat kepada Presiden Donald Trump bagi memohon sokongan beliau untuk menganjurkan satu pertemuan antara ASEAN dan Amerika Syarikat (AS).
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menulis surat kepada Presiden Donald Trump untuk memohon sokongan menganjurkan pertemuan ASEAN-AS, selaras mandat Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Langkawi.
- Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 masih menunggu pengesahan tarikh daripada AS untuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS.
- ASEAN memilih untuk tidak bertindak balas terhadap tarif AS dan sebaliknya mahu mengadakan dialog terbuka dan membina dalam isu perdagangan.
Podcast ini dijana oleh AI menggunakan data yang sahih dan telah disemak mengikut piawaian kewartawanan AWANI.
“Saya telah mengambil inisiatif, menulis kepada Presiden Trump bagi memohon kefahaman beliau dalam menganjurkan satu pertemuan antara Amerika Syarikat dan ASEAN, yang menunjukkan bahawa kita benar-benar menghormati semangat kepusatan ASEAN,” katanya.
Sebelum ini, dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Ahad, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 masih menunggu pengesahan AS berkenaan tarikh dicadangkan bagi Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS.
Pada 5 April lalu, Mohamad memaklumkan bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-AS di bawah Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif.
Sebelum ini, barisan Menteri Ekonomi ASEAN menyatakan bahawa blok 10 negara itu tidak akan melaksanakan sebarang tindak balas susulan terhadap pengumuman tarif timbal balik oleh Trump pada awal April lalu.
Tindakan ini diambil memandangkan ASEAN ingin mengadakan dialog yang terbuka dan membina dengan AS bagi menangani isu-isu berkaitan perdagangan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami