Skip to main content

Malaysia

Anwar ucap tahniah kepada Andy Burnham atas pelantikan sebagai Perdana Menteri UK

TOKYO, 10 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas lawatan rasmi tiga hari ke Jepun hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  TOKYO, June 10 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim during a press conference after concluding his three-day official visit to Japan here today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Andy Burnham atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK), sambil menyatakan komitmen beliau untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik Malaysia-UK. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Andy Burnham atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK), sambil menyatakan komitmen beliau untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik Malaysia-UK.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan Burnham untuk membawa Perkongsian Strategik Malaysia-UK ke tahap seterusnya termasuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Digital dan memperluas usaha sama dalam bidang kecerdasan buatan, pendigitalan, tenaga bersih serta pertahanan.

Beliau juga menyambut baik pengakuan Burnham bahawa respons awal Britain terhadap penderitaan penduduk di Gaza tidak memadai dan gesaannya agar tekanan lebih besar dikenakan ke atas rejim Israel.

“Ketika banyak pihak di Barat bergelut untuk menunjukkan kejelasan moral yang dituntut oleh krisis ini, pengakuan itu amat dialu-alukan dan adalah langkah pertama yang penting,” katanya.

Perdana Menteri berkata tahun depan menandakan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Malaysia dan UK, serta menyifatkan ia sebagai masa yang tepat untuk memperbaharui komitmen kedua-dua negara terhadap kerjasama yang telah lama terjalin dan bersama-sama mencorakkan lembaran baharu dalam hubungan dua hala.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Keir Starmer atas sumbangan beliau terhadap hubungan Malaysia-UK sepanjang tempoh perkhidmatannya.

"Saya mendoakan kejayaan beliau dalam apa jua usaha yang akan diceburinya pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement