KUALA LUMPUR: Sejurus pulang dari lawatan ke Terengganu, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa berkunjung ke Setel Raya Starvendors KLCC Mega Raya Fest 2023 (Starvendors 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam tadi.

Perdana Menteri yang tiba pukul 11 malam disambut Pengarah Urusan dan Pengasas Starvendors Event Sdn Bhd Datuk Ifa Raziah.

Beliau kemudiannya merasmikan festival yang akan berlangsung selama 100 jam tanpa henti bermula dari 13 hingga 17 April.

Anwar merakamkan ucapan terima kasih kepada pengunjung atas sokongan yang diberikan kepada peniaga dan artis tempatan pada festival jualan tersebut serta menyifatkan ia sebagai satu perkembangan baik kepada negara

Pemimpin nombor satu negara itu sempat berlawak dengan pengunjung apabila mereka bertanyakan tarikh sambutan Aidilfitri.

"Ramai tanya saya bila raya...Raya pada 1 Syawal...insya-Allah beberapa hari lagi puasa Ramadan akan selesai," katanya secara ringkas di hadapan ribuan pengunjung.

Kehadiran beliau selama sejam di festival itu menarik perhatian ramai pengunjung. Anwar turut berbual dengan peniaga dan sempat beramah mesra dengan pengunjung yang hadir termasuk memberi peluang kepada mereka untuk berswafoto.

Festival yang menampilkan lebih 600 tapak pameran terdiri daripada vendor yang menjual pelbagai produk termasuk makanan, pakaian, emas, biskut raya dan peralatan rumah itu menyasarkan lebih tiga juta pengunjung pada tahun ini.

Starvendors 2023 lebih meriah dengan penglibatan lebih 100 artis tanah air yang turut sama membuka tapak pameran dan menjual produk keluaran mereka, antaranya Ramlah Ram, Noraniza Idris, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Elyana, Achey Bocey, Nadia Brian, Nana Mahazan, Izara Aishah, Shaheizy Sam, Syatilla Melvin, Sharifah Rose dan ramai lagi.

Starvendors 2023 dijangka memecahkan rekod Guinness World Records dengan penganjuran acara 100 jam tanpa henti kali ini.

Pada tahun lepas, Starvendors telah mengumpulkan lebih 350 usahawan dan 50 selebriti, dan menerima seramai 2.6 juta pengunjung sekali gus mencipta rekod sebagai "Festival Raya Terpanjang Tanpa Henti" dalam The Malaysia Book of Records dengan pameran raya selama 75 jam.

-- BERNAMA