KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan subsidi RM1 juta bagi menampung kos penyelenggaraan selama tiga tahun 98 keluarga penghuni Rumah Panjang Bukit Kiara.
Subsidi itu akan mula disalurkan selepas penduduk berpindah ke kediaman baharu yang projek pembinaannya bermula hari ini.
“Kita perlu beri subsidi bagi menampung kos penyelenggaraan sekurang-kurangnya untuk tiga tahun.
"Saya luluskan RM1 juta untuk penduduk di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh; Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan; dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.
BACA: Selepas 44 tahun, 98 keluarga Rumah Panjang Bukit Kiara terima dua unit rumah percuma
Mengulas lanjut, Anwar berkata dana berkenaan akan disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara kemudahan perumahan tersebut.
Anwar turut menyatakan rasa syukur apabila tuntutan penduduk selama 44 tahun akhirnya dapat diselesaikan.
Jelasnya, penyelesaian itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang, menjaga kebajikan rakyat dan memastikan golongan berpendapatan rendah tidak tercicir.
"Mudah-mudahan semua negeri dan kota di negara ini dapat belajar daripada pengalaman ini. Sampai bila kita mahu biarkan masalah berlarutan? Yang penting, mesti ada penyelesaian yang berasaskan keadilan,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu berkenaan bukan didorong oleh pertimbangan politik atau musim pilihan raya, sebaliknya berasaskan nilai kemanusiaan, ihsan dan keadilan terhadap rakyat.
“Jangan rakus, tidak peduli nasib rakyat. Kita ada kuasa dan kerana itu kuasa perlu diletakkan pada orang yang mempunyai perasaan,” katanya lagi.