KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan peruntukan RM10 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan mendapatkan pembelaan sewajarnya di mahkamah.

"Kerajaan telah menubuhkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dan saya gembira mengetahui bahawa sejak mula beroperasi pada 2012, model itu telah menyaksikan ratusan ribu individu diwakili dalam prosiding jenayah.

"Pengalaman saya di Sungai Buloh, saya telah melihat ratusan banduan yang diberi peluang untuk membela diri mereka dalam perbicaraan yang adil, oleh itu saya terdorong untuk mengumumkan satu lagi kenaikan RM10 juta bagi tujuan ini," katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia di ibu negara, pada Isnin.

Kata Perdana Menteri, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan telah menjalankan peranan mereka dengan baik dan beliau akan terus melibatkan diri serta memberi pertimbangan serius terhadap pandangan Badan Peguam Malaysia berkaitan sistem perundangan negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengulangi komitmen untuk mempertahankan kebebasan sistem kehakiman, dan menekankan adil dan saksama sebagai ciri utama kebebasan sistem kehakiman.

Justeru beliau melihat sudah tiba masanya untuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dikaji semula bagi memberi lebih ruang serta perlindungan kepada pihak terbabit.

"Sejarah negara kita dicemari oleh salah guna kuasa dan rasuah, ia juga ini telah meresap ke dalam masyarakat kita, kemajuan dan aspirasi negara dan menjejaskan asas tadbir urus yang baik.

"Kajian semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, bertujuan untuk meluaskan perlindungan dan ruang untuk pendedahan kepada agensi yang sesuai tanpa rasa takut akan hukuman," ujarnya.

Katanya, kebebasan bermakna badan kehakiman memutuskan perkara di hadapan mereka secara saksama berdasarkan fakta dan mengikut undang-undang tanpa sekatan, pengaruh, tekanan ancaman atau campur tangan mana-mana pihak.