KUCHING: Lebih 500,000 pengguna serta 85,000 peniaga yang menggunakan aplikasi pembayaran digital S Pay Global berdepan gangguan sistem selepas bilik server utama Sistem Maklumat Sains Sarawak (SAINS) terbakar.

Bilik server SAINS yang terletak di tingkat tiga Wisma Bapa Malaysia Petra Jaya, Kuching dilaporkan terlibat dalam kejadian kebakaran pada malam Khamis.

Kejadian tersebut disedari orang awam selepas terlihat kepulan asap keluar dari bahagian tingkap salah sebuah bilik di tingkat tiga bangunan berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Ranger Moss berkata pihaknya menerima laporan sekitar jam 7.13 malam dan segera menghantar 16 anggota dari BBP Petra Jaya dan Padungan ke lokasi.

“Kebakaran berjaya dipadamkan selepas bekalan elektrik bangunan tersebut diputuskan dan kita mendapati punca asap tebal dari peti suis di bilik server pejabat itu.

“Pihak bomba terpaksa menilai semula keadaan dengan keadaan asap tebal dan berlaku letupan kecil, namun kebakaran telah dipadamkan dengan menggunakan Alat Pemadam Api (APA) oleh pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.



SAINS dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya telah melaksanakan prosedur tindak balas insiden dan pemulihan bencana untuk memastikan perkhidmatan yang penting dapat beroperasi.

“Kesan daripada kemalangan ini masih dalam proses penilaian, punca kepada kebakaran juga masih di bawah siasatan, pihak SAINS memohon maaf kerana mengakibatkan orang awam terkesan dengan insiden ini,” ujaranya pada Khamis.

Tiada mangsa dilaporkan dan semua kakitangan yang bertugas semasa kejadian berjaya keluar dengan selamat.

Bangunan Wisma Bapa Malaysia (WBM) juga menempatkan beberapa pejabat di bawah kerajaan negeri termasuk pejabat Premier Sarawak di tingkat 22 bangunan berkenaan.

Ekoran daripada kejadian terbabit beberapa program termasuk penganjuran sidang media di bilik mesyuarat tingkat dua WBM ditangguhkan atau diadakan di lokasi yang lain sementara waktu.

Selain S Global, beberapa sistem pentadbiran agensi kerajaan negeri yang dihubungkan dengan SAINS turut tergendala termasuk e-recruitment, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), dan sistem pembayaran bil utiliti melalui Paybills.Sarawak.Gov.