MALAYSIA
Aplikasi mudah alih MySPPIM permudah urusan nikah, cerai dan kursus praperkahwinan

Semalam, PM Anwar melancarkan MySPPIM 2.0 pada majlis Penutup ljtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia 2025 di Iskandar Puteri. --fotoBERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperluas penggunaan Aplikasi Mudah Alih Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (MySPPIM) bagi memudahkan orang ramai menguruskan pelbagai urusan perkahwinan secara dalam talian.
Menurut JAKIM, aplikasi itu membolehkan pengguna membuat permohonan kursus praperkahwinan, permohonan berkahwin, mendapatkan khidmat nasihat serta mengakses kad perakuan nikah dengan lebih mudah.
"Aplikasi ini turut boleh digunakan oleh pihak penguat kuasa untuk melakukan semakan status perkahwinan," jelas jabatan itu dalam maklumat yang dikongsikan menerusi kit media sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 di sini, semalam.
Selain itu, aplikasi berkenaan turut dilengkapi fungsi pendaftaran nikah, cerai dan rujuk secara dalam talian, selain capaian kepada sijil kursus praperkahwinan.Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan MySPPIM 2.0 sempena IJPAM 2025 yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
IJPAM 2025 yang diadakan di sini selama enam hari bermula 8 Sept lepas menghimpunkan 20 agensi agama dan 2,400 penyertaan serta sarat dengan pelbagai pengisian termasuk Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam dan Seminar Halal Serantau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami