Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini dalam rundingan akhir untuk mengekstradisi lapan suspek yang terlibat dalam kes rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony pada Jun tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Indera Zulkifili Abu Bakar berkata sepasukan pegawai penyiasat dari Cawangan Siasatan Jenayah Maritim Malaysia ketika ini berada di Hanoi, Vietnam untuk mengadakan rundingan akhir dalam proses membawa pulang lapan suspek terbabit.

"Empat pegawai dan 20 anggota daripada Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia telah bersiap sedia daripada pelbagai sudut untuk memastikan misi membawa kesemua suspek ke Malaysia berjaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lapan lelaki Indonesia itu ditahan pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu di selatan negara berkenaan ketika cuba meloloskan diri daripada pemburuan.

Kapal MT Orkim Harmony itu dilaporkan hilang bersama 22 anak kapal, termasuk 16 rakyat Malaysia di lokasi terakhir, lebih kurang 23.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Sedili, Johor pada kira-kira 7 pagi, 12 Jun tahun lepas.

Ketika kejadian, kapal tersebut dalam pelayaran dari Melaka ke Kuantan dengan membawa muatan minyak petrol Ron 95 seberat 5,879 metrik tan. -- BERNAMA