MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026 dengan menggerakkan 474 pegawai dan anggota di 11 balai bomba dan penyelamat (BBP) di seluruh negeri.
Pengarah JBPM Melaka Mohd Zaidi Ma’at berkata kesiapsiagaan itu turut mengambil kira risiko cuaca panas dan kering susulan fenomena El Nino yang boleh meningkatkan kemungkinan kebakaran terbuka, termasuk kebakaran hutan, belukar dan lalang.
“Kekuatan operasi itu turut disokong oleh 139 anggota daripada enam pasukan bomba sukarela (PBS) selain pelbagai aset darat dan 27 bot bagi membolehkan operasi menyelamat dilaksanakan sekiranya berlaku banjir.
“Anggota akan digerakkan untuk meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko banjir ketika hujan lebat, termasuk di kawasan berisiko kejadian kepala air di Asahan, Jasin,” katanya kepada Bernama selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Melaka bagi Oktober 2026 di Bukit Katil, di sini hari ini.
Mohd Zaidi berkata sebanyak 102 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir di Melaka, iaitu 52 kawasan di Melaka Tengah, Jasin (26 kawasan) dan Alor Gajah (24 kawasan).
JBPM Melaka, katanya, turut menetapkan tiga pusat logistik operasi bencana di BBP Alor Gajah, Ayer Keroh dan Jasin Bestari bagi memudahkan pergerakan bantuan mengikut keperluan di setiap daerah.
Beliau berkata Pusat Gerak Cepat MTL ditubuhkan di BBP Ayer Keroh bagi menyelaras penghantaran pasukan bantuan ke negeri lain yang memerlukan, dengan sasaran menggerakkan pasukan dalam tempoh dua jam.
“Kesiapsiagaan menghadapi MTL juga melibatkan kawalan cuti anggota dengan hanya 20 peratus dibenarkan bercuti, manakala 80 peratus lagi perlu bersedia menjalankan tugas.
“Tempoh syif boleh disesuaikan daripada 12 jam kepada 24 jam sekiranya keadaan memerlukan, bergantung pada situasi semasa,” katanya.
Mohd Zaidi berkata latihan dan pemeriksaan peralatan turut dilaksanakan secara berterusan, termasuk pengujian bot, enjin bot dan gergaji berantai bagi memastikan semua aset berada dalam keadaan baik serta boleh digunakan apabila diperlukan.
Dalam pada itu, Mohd Zaidi berkata JBPM Melaka menggalakkan penglibatan masyarakat menerusi Skim Teman Pili Bomba bagi membantu memantau keadaan pili bomba serta melaporkan sebarang kerosakan atau penyalahgunaan kemudahan itu.
Beliau berkata sebanyak 271 individu menyertai skim berkenaan setakat tahun ini, berbanding sasaran 345 orang, manakala Melaka mempunyai kira-kira 18,000 pili bomba, terdiri daripada 16,000 pili bomba awam dan 2,000 pili bomba swasta.
Sementara itu, beliau berkata JBPM Melaka menerima 4,954 panggilan kecemasan bagi tempoh 1 Jan hingga 27 Okt tahun ini, dengan kes penyelamatan dan khidmat kemanusiaan merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 2,693 kes.
Katanya, sebanyak 2,186 panggilan melibatkan kes kebakaran, manakala tugas khas merekodkan 73 kes dan dua panggilan dikategorikan sebagai panggilan palsu.
-- BERNAMA