IPOH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan 22 nelayan warga asing kerana melakukan pelbagai kesalahan, di kedudukan 0.98 batu nautika tenggara Pulau Jarak pada Jumaat lepas.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup berkata sebuah bot nelayan pukat jerut dikesan berada di perairan berkenaan kira-kira pukul 10.40 pagi.

"Bot terbabit dikesan sedang leka melakukan aktiviti perikanan ketika KM Tugau melakukan rondaan rutin menerusi Op Sayong, Op Tanjung dan Op Tiris di sekitar perairan Perak.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga Thailand bersama empat kru warga Thailand dan 17 kru warga Kemboja berumur lingkungan 24 hingga 57 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hambali berkata bagaimanapun, tekong terbabit gagal mengemukakan dokumen kelulusan penggunaan peralatan komunikasi serta beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut turut menemukan kira-kira 60 liter cecair disyaki air ketum dan anggaran 200 kilogram ikan campur di atas bot berkenaan.

Mohd Hambali berkata kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tidakmempunyai kelulusan penggunaaan radar dan peranti serta Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang dari 15 batu nautika.

"Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan terbabit.

"Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata kesemua nelayan yang ditahan serta bot, hasil tangkapan, peralatan menangkapikan dan cecair disyaki air ketum yang dirampas diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA