GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang terus mempergiat pemantauan keselamatan di perairan negeri ini menerusi pelaksanaan Op Khas Pagar Laut menjelang Aidilfitri bagi mengekang aktiviti jenayah maritim termasuk penyeludupan dan pencerobohan.
Pengarah Maritim negeri Mohd Suffi Mohd Ramli berkata operasi yang berlangsung dari 6 Mac hingga 10 April itu dilaksanakan dalam tiga fasa utama iaitu pengumpulan maklumat risikan, penguatkuasaan dari 21 Mac hingga 3 April serta pemantauan selepas perayaan bermula 4 hingga 10 April.
Advertisement
“Setakat hari ini kita masih belum mengesan sebarang aktiviti mencurigakan namun, kita menjangkakan kemuncak kegiatan jenayah maritim ini pada hari raya dan sepanjang minggu perayaan nanti.
“Ini kerana ada pihak yang mungkin menyangka anggota penguat kuasa turut bercuti sempena Aidilfitri. Tanggapan itu silap kerana pemantauan dan penguatkuasaan tetap dijalankan seperti biasa,” katanya kepada pemberita, di sini.
Terdahulu pengamal media Pulau Pinang diberikan peluang menyertai operasi berkenaan bersama pasukan penguatkuasaan APMM pada petang semalam dengan pemantauan dilakukan sepanjang perairan Selatan Pulau Pinang sebelum berbuka puasa di atas kapal KM Sikuati.
Sebuah kapal dan dua bot peronda diatur gerak untuk menjalankan pemantauan rondaan sepanjang tempoh operasi bagi memastikan kelancaran melibatkan keluasan menjangkau 85 batu nautika sektor operasi.
Mengulas lanjut Mohd Suffi berkata tumpuan Op Khas Pagar Laut adalah bagi menyekat kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) serta mengekang aktiviti penyeludupan seperti bunga api, mercun dan barangan kawalan yang cuba dibawa masuk melalui sempadan perairan negara.
Selain itu, katanya, operasi itu juga bertujuan membanteras aktiviti penyeludupan dadah berbahaya yang menggunakan laluan laut termasuk melalui jeti penumpang, bot penumpang, kapal serta Vesel Nelayan Tempatan (VNT) sebagai medium pengangkutan.
Beliau berkata antara kesalahan lain yang sering dikesan di perairan negeri ini ialah pencerobohan bot nelayan yang menangkap ikan di kawasan kurang daripada lima batu nautika dari pantai menggunakan pukat tunda, yang bukan sahaja melanggar peraturan perikanan malah boleh menjejaskan ekosistem serta biodiversiti hidupan marin.
Mohd Suffi berkata berdasarkan rekod penguatkuasaan APMM menerusi Op Pagar Laut sepanjang tempoh lima tahun dari 2020 hingga tahun lepas, sebanyak 21 kes tangkapan direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM179,175.
--BERNAMA