MEDITERRANEAN: Kru kapal Greenpeace International, Arctic Sunrise melaporkan, kapal‑kapal dalam Global Sumud Flotilla telah diganggu oleh pasukan Israel di perairan antarabangsa, kira‑kira 45 batu nautika dari Pulau Kythira, Greece dan lebih 600 batu nautika dari Gaza, pada Rabu.
Menurut laporan Greenpeace, flotila menerima amaran radio pada jam 9.43 Waktu tempatan, melalui saluran kecemasan antarabangsa VHF Channel 16, dengan pihak yang memperkenalkan diri sebagai Tentera Laut Israel mengarahkan kapal‑kapal tersebut menukar haluan.
Advertisement
Situasi itu bertambah serius apabila komunikasi maritim diganggu secara menyeluruh, termasuk saluran kecemasan VHF SOS, saluran VHF penyelarasan flotila, Global Navigation Satellite System (GNSS) dan jalur komunikasi Iridium.
Gangguan tersebut dilaporkan meletakkan keselamatan kapal dalam risiko di perairan terbuka dan pada waktu laporan ini dibuat, hubungan dengan beberapa kapal flotila telah terputus sepenuhnya.
Satu kenyataan yang dimuat naik di platform X rasmi Global Sumud Flotilla mendakwa, bot‑bot mereka turut didekati kapal laju tentera yang memperkenalkan diri sebagai “Israel” dengan pancaran laser disuluh dan senjata api separa automatik diacukan, sambil peserta diarahkan berkumpul di hadapan bot dan berlutut dengan tangan di atas kepala.
Global Sumud Flotilla merupakan gerakan antarabangsa tindakan tanpa kekerasan yang belayar bagi menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza serta menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin.
Kapal Arctic Sunrise menyediakan sokongan logistik kepada flotila tersebut.
Berikutan insiden ini, Greenpeace menggesa semua kerajaan bertindak segera bagi mempertahankan undang‑undang antarabangsa dan memastikan perlindungan penuh serta laluan selamat flotila, termasuk membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa gangguan ketenteraan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Israel berhubung dakwaan gangguan atau tindakan ketenteraan di perairan antarabangsa.