Skip to main content

Malaysia

APMM teliti pistol perenjat elektrik, senjata operasi bertaraf antarabangsa

Saiful Lizan
Saiful Lizan ketika hadir pada Pameran DSA dan NATSEC Asia 2026 di Kuala Lumpur, 20 April 2026. - Gambar APMM

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini meneliti penggunaan senjata tidak membawa maut atau non-lethal weapon termasuk pistol perenjat elektrik sebagai sebahagian daripada pendekatan penguatkuasaan lebih fleksibel dan terkawal.

Timbalan Ketua Pengarah Logistik APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata pendekatan penggunaan senjata berkenaan selaras dengan amalan penguatkuasaan di peringkat antarabangsa.

Advertisement

Pada masa sama, beliau berkata APMM turut menilai keperluan penggunaan senjata operasi bertaraf antarabangsa, khususnya bagi situasi berisiko tinggi seperti pemeriksaan vesel nelayan asing atau aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Langkah itu penting bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terjamin ketika berdepan situasi tidak menentu di laut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Saiful Lizan mewakili Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah pada majlis perasmian Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini semalam.

Beliau berkata APMM kini memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemodenan sistem persenjataan bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan di perairan negara.

Saiful Lizan berkata persekitaran operasi di laut ketika ini menuntut kesiapsiagaan anggota berada pada tahap optimum melalui sokongan teknologi terkini.

“Persekitaran operasi kini jauh lebih mencabar dengan ancaman rentas sempadan yang semakin kompleks. APMM perlu bergerak seiring perkembangan teknologi bagi memastikan setiap tindakan penguatkuasaan lebih berkesan dan selamat,” katanya.

Beliau berkata dalam landskap semasa, keperluan APMM bukan sekadar meningkatkan keupayaan aset seperti kapal dan pesawat tetapi turut memerlukan sokongan persenjataan dan teknologi yang relevan.

Saiful Lizan bagaimanapun berkata fokus pemodenan APMM tidak terhad kepada penambahan aset semata-mata, sebaliknya melibatkan integrasi menyeluruh merangkumi persenjataan, sistem pemantauan serta elemen risikan.

“Ia bagi memastikan setiap operasi dilaksanakan secara responsif dan mampu menangani sebarang ancaman dengan pantas dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata semua inisiatif yang dirangka turut mengambil kira aspek pematuhan undang-undang, keberkesanan operasi serta keselamatan anggota sebagai keutamaan utama agensi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video