NEW YORK: Arab Saudi dipilih sebulat suara untuk mempengerusikan badan wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Suruhanjaya Status Wanita (CSW).

Abdulaziz Alwasil dari Arab Saudi akan berkhidmat sebagai pengerusi sesi ke-69 CSW.

Dalam ucapan penerimaannya, Alwasil berjanji untuk bekerjasama dengan semua ahli suruhanjaya itu untuk menggalakkan kesaksamaan jantina.

Beliau juga menegaskan bahawa Arab Saudi komited terhadap usaha pemerkasaan wanita.

CSW, yang ditubuhkan pada 1946, ialah badan pembuat dasar global yang berdedikasi untuk memajukan wanita.

Ia mengadakan mesyuarat tahunan pada setiap Mac untuk mempromosikan kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita.

Bagaimanapun, keputusan itu telah mendapat kritikan daripada Organisasi Hak Asasi Manusia iaitu Timbalan Pengarah bagi advokasi Amnesty International, Sherine Tadros, yang cuba menyerlahkan rekod buruk Arab Saudi dalam melindungi dan mempromosikan hak wanita.

Tadros menegaskan bahawa sesebuah negara yang terpilih mesti menunjukkan komitmennya terhadap hak wanita melalui tindakan domestik yang nyata, bukan hanya dengan mendapatkan peranan kepimpinan dalam suruhanjaya antarabangsa.