Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bersedia melakukan sumpah laknat bagi menafikan dakwaan Azilah Hadri berhubung pembabitan beliau dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dalam catatan terbaharu di Facebook rasminya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sumpah laknat itu akan dilakukan pada minggu ini.

“Saya berhasrat melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan yang terkandung dalam Akuan Bersumpah yang dikeluarkan Azilah Hadri.

“Sumpah laknat ini akan saya buat di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas Solat Jumaat minggu ini,” katanya lagi.


BACA: Shafee dakwa Azilah dibawa keluar dari penjara Kajang jumpa VVIP

BACA: Tun Mahathir hanya senyum, geleng kepala saat ditanya berhubung Azilah

BACA: Kes bunuh Altantuya: Permohonan semakan difailkan Azilah didengar 20 April

BACA: Kes bunuh Altantuya: Teks penuh akuan bersumpah Azilah Hadri


Dua hari lepas, Azilah, yang telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati bersama Sirul Azhar Omar, mengeluarkan kenyataan berkenaan bahawa arahan itu datang dari Najib, yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Mahkamah Persekutuan di sini semalam menetapkan 20 April tahun depan untuk mendengar permohonan semakan bekas anggota terhadap sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.