Skip to main content

Malaysia

Waze perlu jelaskan dakwaan kebocoran data di 'dark web' - Fahmi

Fahmi (foto) berkata Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) akan dirujuk berhubung sebarang aspek siasatan yang perlu dijalankan, tertakluk kepada proses perundangan. -Gambar fail/Bernama
Fahmi (foto) berkata Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) akan dirujuk berhubung sebarang aspek siasatan yang perlu dijalankan, tertakluk kepada proses perundangan. -Gambar fail/Bernama

Advertisement

Penyedia aplikasi navigasi Waze perlu memberikan penjelasan berhubung dakwaan kebocoran data yang dikatakan dijual di laman gelap (dark web).

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) akan dirujuk berhubung sebarang aspek siasatan yang perlu dijalankan, tertakluk kepada proses perundangan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Komunikasi tidak dapat mengesahkan sama ada data rakyat Malaysia terlibat dalam dakwaan berkenaan.

"Namun, kita tidak pasti bagaimana maklumat data peribadi rakyat Malaysia boleh diambil sedemikian rupa dan kemudiannya berlaku kebocoran data, serta ada pihak yang tidak bertanggungjawab memperoleh keuntungan daripada penjualan di dark web.

"Saya harap pihak Waze memberi penjelasan. Anda perlu menjelaskannya," katanya dalam Sidang Media Mingguan, di sini pada Jumaat.

Mengulas kemungkinan tindakan menyekat perkhidmatan aplikasi itu, termasuk melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), beliau berkata tindakan lanjut memerlukan cabutan minit mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang telah membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Kita tunggu proses itu. Tempoh masa bergantung kepada proses untuk mendapatkan minit dan arahan," ujarnya.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan nasihat keselamatan berkaitan penggunaan Waze dikeluarkan berdasarkan maklum balas Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).

Beliau berkata dua isu utama dibangkitkan, iaitu pengumpulan dan pemprosesan data berkaitan aplikasi berkenaan yang dibawa ke Israel, serta sebarang pertikaian perundangan yang hanya akan diuruskan melalui mahkamah di negara itu.

Must Watch Video

Advertisement