Polis sahkan dakwaan Selangor akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang tular di laman Facebook dan menerusi kiriman WhatsApp adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner NurulHuda Mohd Salleh berkata, pihak polis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berhubung perkara tersebut yang dikatakan melalui sumber anggota polis berpangkat ASP dari daerah itu.

‘’Ibu pejabat ini menafikan sekeras-kerasnya sebarang mesej atau kenyataan tersebut, siapa pula yang berani keluarkan kenyataan macam itu?" katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Tular di media sosial dan kiriman Whatsaap mengatakan Selangor akan melaksanakan perintah PKPD susulan terdapat banyak kes berhubung wabak Covid-19.

Antara lain, kenyataan tersebut turut menyebut bahawa perintah tersebut telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.