SEREMBAN: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menyasarkan 5,000 ahlinya menyertai 'Misi 100 jam Khidmat Sukarela' bagi membantu petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, setiap peserta akan berkhidmat selama 100 jam dalam tempoh sebulan di bawah misi berkenaan yang telahpun bermula sejak semalam.

"Terpulang pada bahagian masing-masing untuk menentukan siapa yang ikhlas menyumbang masa dan wang ringgit bagi kerja kebajikan ini," katanya kepada pemberita selepas melawat PPV Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Mengenai program Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC), Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata setakat ini seramai 3,000 sukarelawan telah digerakkan dengan setiap mereka diberi elaun RM50 sehari bagi menguruskan serta menyelia proses pemberian vaksin di setiap PPV.

Menurut beliau, ketika ini jumlah sukarelawan di bawah MyVAC yang berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan adalah seramai 30,000 orang dan penambahan sukarelawan bergantung kepada belanjawan yang diluluskan oleh ahli Kabinet.

Beliau turut memaklumkan hampir 80 peratus daripada sukarelawan tersebut telah divaksinasi.

-- BERNAMA