KUALA LUMPUR : Setelah tiga bulan terhenti berikutan larangan aktiviti sosial yang dikenakan oleh kerajaan dalam mengawal penularan COVID-19, aktiviti busking kembali menghidupkan suasana di stesen transit KL Sentral, Kuala Lumpur. 

Rhythm @ KL Sentral Buskers Performances yang dikendalikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) kini mula beroperasi di balai ketibaan KLIA Ekspress 

Menurut menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, idea untuk mengangkat kembali sumber ekonomi golongan penghibur melibatkan artis buskers dicadangkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link Sdn Bhd, Noormah Mohd Noor pada Julai tahun lalu bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Hari ini saya datang untuk memberi sokongan moral dan motivasi kepada artis buskers yang mendapat kebenaran untuk membuat persembahan di lapangan terbuka seperti ini kerana mereka adalah merupakan antara golongan yang terkesan dalam tempoh pandemik," katanya pada Rabu.

Ujarnya, meskipun inisiatif Rhythm @ KL Sentral Buskers Performances tertangguh beberapa kali kerana situasi yang tidak menentu, namun ia kini dibenarkan semula.

"Sebelum ini, aktiviti busking hanya dibenarkan pada 6 November 2020. Ia kemudiannya terpaksa ditangguhkan semula pada 10 Januari 2021 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Namun kini, ia beroperasi semula dengan mengikut ketetapan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," ujarnya.

Jelasnya, kerjasama ini juga direalisasikan melalui Persatuan Buskers Malaysia.

Oleh yang demikian, pihak kementerian berupaya untuk membantu ,mereka dengan menyediakan ruang mengikut piawaian yang bersesuaian dengan arahan keselamatan negara.

Dalam pada itu, seorang ahli Malaysia Buskers Club yang telah berkecimpung dalam aktiviti busking selama 30 tahun, Aznan Aziz, 62, menzahirkan penghargaannya kepada MOTAC dan ERL Express kerana akhirnya dapat meneruskan aktiviti tersebut, meskipun dalam norma baharu.

"Kami membuat persembahan dengan mengikut SOP yang ditetapkan. Pemain instrumen perlu memakai pelitup muka, manakala penyanyi dikecualikan," kongsinya.