Lelaki tikam nenek hingga maut, moyang cedera parah di Baling

Pasukan dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah ketika menjalankan pemeriksaan terperinci di rumah mangsa. - Astro AWANI
BALING: Seorang wanita warga emas maut manakala ibunya cedera parah selepas ditikam dan ditetak oleh seorang lelaki dalam kejadian tragis di Kampung Baru Bakai, dekat sini, lewat petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang dan kedua-dua mangsa ditemui di dalam rumah mereka.
“Sebaik tiba di lokasi, polis menemui seorang wanita berusia lingkungan 60-an telah meninggal dunia akibat tikaman di bahagian belakang badan.
"Seorang lagi mangsa, berusia sekitar 80-an, mengalami kecederaan parah akibat tetakan di belakang leher,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian awal pagi Rabu.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.
Menurut beliau, seorang lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan dan akan direman di Mahkamah Baling pada pagi Rabu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini suspek telah ditahan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati pasukan dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menjalankan pemeriksaan terperinci, dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


