Arul Kanda akan terus kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan akan turut terlibat dalam pembangunan ikonik Tun Razak Exchange (TRX), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

"Saya yakin sepenuhnya terhadap beliau," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, Arul Kanda mempamerkan kepimpinan yang baik bagi keputusan rasionalisasi 1MDB dan beliau akan terus bersama syarikat itu.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita Malaysia pada hari terakhir Forum Jalur dan Laluan Untuk Kerjasama Antarabangsa selama dua hari di sini.

Sementara itu tanggungjawab bagi projek pembangunan Bandar Malaysia digalas oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

"Namun, Tan Sri (Mohd) Irwan akan berbincang dengan Arul Kanda mengenai pembangunan masa depan Bandar Malaysia," katanya.

-- BERNAMA