KUALA BERANG: "Arwah pernah meluahkan hasrat ingin berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk menjaga ayah yang menghidap penyakit lelah kronik".

Demikian kata Ayu Megawati Mohd Said, kakak kepada seorang jurutera Muhammad Sufian yang ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah, selepas insiden memecahkan cermin masjid Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor, Ahad lepas.

Beliau berkata adik bongsunya itu telah bertugas di Johor sejak tiga tahun lepas dan tidak pernah berkelakuan agresif sebelum ini namun, akhir-akhir ini kerap menyatakan hasratnya untuk pulang ke kampung.

"Saya dan arwah tinggal berdekatan antara satu sama lain di Johor Bharu. Pada Sabtu lepas arwah telah beberapa kali mendesak serta mengajak saya untuk pulang ke kampung bersamanya tetapi saya meminta beliau bersabar hingga Ahad bagi menguruskan dokumen rentas negeri.

"Namun, perancangan itu tidak tercapai apabila saya menerima panggilan kira-kira pukul 4 pagi dan dimaklumkan kejadian yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarganya di Taman Seri Sentosa, Kuala Berang di sini hari ini.

BACA: Lelaki tumbuk pintu cermin masjid meninggal dunia

Tambah beliau, walaupun terkejut dengan insiden terbabit mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah.

Katanya, mereka sekeluarga mula menyedari perubahan sikap Muhammad Sufian sejak dua minggu lepas.

"Rutin kami adik-beradik membuat panggilan video secara berkumpulan selepas maghrib dan arwah akan menamatkan perbualan apabila masuk waktu azan isyak, tetapi sejak dua minggu kebelakangan ini arwah berbual lebih lama berbanding sebelumnya," katanya.

Beliau berkata jenazah Muhammad Sufian telah selamat dikebumikan kira-kira pukul 9 malam semalam di Tanah Perkuburan Islam Pulau Kuda, Kuala Berang.

Dalam kejadian Ahad lepas, jurutera kimia itu ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan di rumah sewanya dan sebelum itu dikatakan mengamuk di Masjid Taman Scientex apabila mendapati pintu masjid ditutup selepas waktu isyak.


Jika ada kawan, ahli keluarga mahupun jiran yang mengalami kesakitan emosi, hulurkan tangan ringankan beban mereka.

Bagi yang memerlukan perkhidmatan sokongan emosi, boleh menghubungi talian tertera:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WHATSAPP Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan)

KSK-Care JAKIM di WHATSAPP 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929