Skip to main content

Malaysia

ASEAN, China perkukuh kerjasama kesihatan bagi sistem sedia masa depan - Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR, Sept 11 - Health Minister Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad poses for a photo with ASEAN health ministers, senior officials and delegates at the 3rd ASEAN-Republic of Korea Health Ministers "' Meeting, in conjunction with the 17th ASEAN Health Ministers "' Meeting (AHMM) and Related Meetings at a hotel today. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Dzulkefly (tengah) bergambar bersama menteri, pegawai kanan dan delegasi kesihatan, selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-China ke-10 bersempena dengan AHMM ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: ASEAN dan China berusaha memperkukuh kerjasama yang terjalin sejak sekian lama dalam bidang kesihatan ketika rantau ini menghadapi ancaman kesihatan awam yang baharu, perubahan iklim, perubahan demografi dan transformasi teknologi yang pesat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerjasama itu memasuki lembaran yang semakin penting, dengan kedua-dua pihak berusaha ke arah sistem kesihatan berdaya tahan, inklusif dan mampan yang mampu bertindak balas terhadap cabaran semasa dan masa hadapan.

“Perhimpunan hari ini diadakan pada saat memerlukan, memandangkan kita menghadapi evolusi landskap kesihatan yang pesat, dibentuk oleh ancaman kesihatan awam yang baharu, perubahan iklim, perubahan demografi dan transformasi teknologi yang kian pesat.

“Cabaran ini mengingatkan kita sistem kesihatan yang berdaya tahan bukan lagi sekadar keutamaan negara sebaliknya menjadi imperatif serantau bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-China ke-10 bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Timbalan Menteri Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, Dr Liu Jinfeng.

Dr Dzulkefly berkata perbincangan semasa mesyuarat itu, bertemakan Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future Ready Health Systems, juga akan menyumbang kepada pelaksanaan Agenda Kesihatan Strategik ASEAN (ASHA) 2026-2030 dan mengubah aspirasi bersama menjadi tindakan praktikal.

“Keputusan dan perspektif yang kita kongsi hari ini berpotensi untuk memperkukuh bidang kesihatan dan daya tahan demi lebih dua bilion orang di seluruh ASEAN dan China.

“Marilah kita memanfaatkan peluang ini untuk membina kerjasama di samping memandang jauh ke hadapan dengan tekad baharu memperkukuh kerjasama kita bagi dekad-dekad akan datang,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat itu juga bertujuan bagi menyediakan hala tuju strategik dalam memajukan Memorandum Persefahaman (MOU) ASEAN-China mengenai kerjasama kesihatan, menyuarakan komitmen kolektif melalui Kenyataan Bersama dan memastikan kerjasama itu memberikan manfaat besar kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement