Skip to main content

Malaysia

MCMC turunkan 170,633 kandungan dalam talian berkaitan penipuan - Teo

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas oleh penjenayah siber menjadikan ancaman lebih canggih dan sukar dikesan. - Gambar hiasan
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas oleh penjenayah siber menjadikan ancaman lebih canggih dan sukar dikesan. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sejumlah 170,633 kandungan dalam talian berkaitan penipuan, termasuk akaun palsu dan aktiviti penyamaran, setakat 15 Okt lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata angka itu mencerminkan skala penipuan dalam talian yang semakin meningkat serta keperluan penguatkuasaan berterusan, kesedaran awam dan kerjasama lebih erat antara agensi berkaitan untuk melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman siber.

Beliau berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas oleh penjenayah siber menjadikan ancaman lebih canggih dan sukar dikesan, dengan teknologi itu turut dieksploitasi untuk penipuan dalam talian, penyamaran atau kegiatan jenayah berkaitan yang lain.

"Keselamatan siber bukan lagi isu yang terhad kepada jabatan IT (teknologi maklumat) atau profesional keselamatan siber. Perkara itu memberikan kesan kepada perniagaan, institusi kewangan, agensi kerajaan dan rakyat Malaysia biasa yang semakin bergantung pada perkhidmatan digital dalam kehidupan harian mereka.

"Selain serangan terhadap sistem komputer, kita juga menyaksikan AI dieksploitasi untuk penipuan dalam talian, penyamaran dan kegiatan penipuan lain yang boleh menyebabkan kerugian kewangan serta menjejaskan keyakinan orang ramai," katanya dalam ucapan penutupan Sidang Kemuncak Keselamatan Siber LGMS AI 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi melalui MCMC, terus memperkukuh keselamatan dalam talian, menangani penipuan dan kegiatan dalam talian yang memudaratkan, serta meningkatkan kesedaran digital dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Antara Februari hingga Ogos tahun ini, MCMC, dengan kerjasama penyedia telekomunikasi berjaya menyekat 101.66 juta panggilan penipuan atau palsu melalui inisiatif Inter Operator Spoofing Gateway," katanya.

Teo berkata di bawah Belanjawan 2027, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) akan membangunkan aplikasi mudah alih berasaskan AI bagi membantu orang ramai menyemak nombor telefon, akaun bank dan pautan web yang mencurigakan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

Beliau berkata transformasi digital negara bukan sahaja diukur berdasarkan tahap kesalinghubungan, tetapi juga sejauh mana orang ramai dan perniagaan dapat menyertai ekonomi digital dengan selamat dan yakin.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement