NATIONAL
ASEAN: Malaysia terajui agenda hak asasi manusia melalui dua perbincangan strategik

Kementerian Luar Negeri memaklumkan rundingan itu akan berlangsung pada 28 dan 29 April. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon akan menganjurkan dua perbincangan penting berkaitan hak asasi manusia di peringkat serantau.
Kementerian Luar Negeri yang turut dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan rundingan itu akan berlangsung pada 28 dan 29 April.
"Pada 28 April, AICHR akan mengadakan Perbincangan Kali Kedua Mengenai Hak KepadaPembangunan, yang bertujuan memperkukuh Komuniti ASEAN dengan merealisasikan Perkara 35 Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012.
"Sesi berikutnya akan berlangsung pada 29 April, melibatkan Perbincangan Serantau AICHR bagi menyokong pembangunan Rangka Pelan Tindakan Lima Tahun AICHR (2026-2030) selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan Strategiknya."Perundingan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Malaysia dalam kepimpinan ASEAN tahun ini dan menekankan komitmen AICHR untuk membentuk agenda hak asasi manusia yang berpaksikan rakyat, berorientasikan rakyat dan berpandangan ke hadapan," menurut kenyataan Wisma Putra.
Berpandukan kepada prinsip ini, AICHR akan meneruskan usaha dalam membangunkan Komuniti ASEAN dengan memajukan program-program inklusif, mampan dan responsif gender yang bertujuan membasmi kemiskinan, melindungi hak asasi manusia dan alam sekitar, serta merapatkan jurang pembangunan di seluruh rantau, menurut kenyataan itu.
"Perbincangan utama akan bertumpu kepada rundingan lanjut terhadap cadangan Malaysia mengenai satu Deklarasi ASEAN mengenai Promosi Hak Kepada Pembangunan dan Keamanan ke Arah Mencapai Pembangunan Terangkum dan Mampan, yang mencerminkan pendekatan "ASEAN-led, ASEAN-owned", "whole-of-ASEAN" bagi memajukan kerjasama hak asasi manusia.
"Sesi perbincangan tematik akan menonjolkan hubung kait antara hak asasi manusia, keamanan dan hak kepada pembangunan, di mana delegasi merangka strategi-strategi bagi memperkukuh perlindungan hak dalam semua dimensi ekonomi, sosial, budaya dan politik," menurut kenyataan itu.
Perbincangan itu akan turut membantu dalam penyediaan Rangka Pelan Tindakan Lima Tahun AICHR yang akan memberikan penekanan terhadap pengukuhan perlindungan hak asasi manusia dan keterlibatan bersama para pemegang taruh di seluruh ASEAN.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami