KUALA LUMPUR: Kepentingan pengiktirafan vaksin menjadi antara tiga penekanan utama Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-54 yang berlangsung secara maya hari ini.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pengiktirafan vaksin khususnya sesama negara ASEAN adalah penting bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan pada masa akan datang.

“'5-Point Consensus' yang dipersetujui semasa Mesyuarat Pemimpin Tertinggi ASEAN April lalu mesti dilaksanakan segera terutamanya menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

“Myanmar mesti pastikan Utusan Khas Pengerusi ASEAN serta delegasinya diberi akses sepenuhnya untuk bertemu semua pihak berkepentingan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Hishammuddin berkata, mesyuarat itu juga membincangkan beberapa perkara lain seperti perkembangan usaha pembinaan Komuniti ASEAN dan bidang utama dan keberhasilan ASEAN.

Turut dibincangkan adalah permohonan United Kingdom dan Timor Leste untuk menjadi rakan dialog ASEAN, isu serantau dan antarabangsa serta Pengaturan Koridor Perjalanan ASEAN (ATCAF).