MANILA: Filipina bakal menganjurkan siri mesyuarat peringkat tinggi ASEAN pada September dan Oktober sebagai persediaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 serta Sidang Kemuncak Berkaitan pada November, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Antara aktiviti utama sepanjang September termasuk mesyuarat mengenai integrasi ekonomi dan daya tahan bencana, dengan beberapa acara diadakan di Metro Manila.
Jabatan Perdagangan dan Industri (DTI) akan mengetuai Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) serta Mesyuarat Berkaitan dari 14 hingga 22 Sept.
Acara itu menghimpunkan menteri ekonomi rantau ini bersama rakan sejawat dari rakan kongsi ekonomi utama blok berkenaan bagi memajukan integrasi serta kerjasama ekonomi serantau, membincangkan perkembangan ekonomi global, dan menggerakkan keberhasilan ekonomi keutamaan Filipina di bawah peranannya sebagai Pengerusi ASEAN.
Hasil perbincangan serta syor daripada AEM ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan itu akan membantu memberi maklumat kepada perbincangan ekonomi pada sidang kemuncak November nanti.
Aktiviti perniagaan dan pihak berkepentingan dari 17 hingga 21 Sept pula termasuk Ekspo Industri Kreatif ASEAN oleh Malikhaing Pinoy (ASEAN MPEx) 2026 dan Sidang Kemuncak MSME ASEAN, yang menonjolkan perusahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta ekonomi kreatif sebagai pemacu inovasi, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan inklusif.
Sementara itu, Pejabat Pertahanan Awam (OCD) akan mengetuai Persidangan Peringkat Menteri ASEAN mengenai Daya Tahan Bencana (AMCDR) 2026 pada 15 dan 16 Sept, manakala Pejabat Penasihat Presiden mengenai Keamanan, Perdamaian dan Perpaduan (OPAPRU) mengendalikan Persidangan Peringkat Tinggi Pendidikan Keamanan ASEAN dari 22 hingga 23 Sept.
Membawa tema “Pendidikan Keamanan untuk Masa Depan Bersama dan Kerjasama Berpanjangan”, Persidangan Peringkat Tinggi Pendidikan Keamanan ASEAN itu akan menghimpunkan pembuat dasar, pendidik, belia, masyarakat sivil serta rakan pembangunan bagi memajukan pendidikan keamanan sebagai pemboleh daya strategik untuk keamanan mampan, daya tahan dan kerjasama di Asia Tenggara.
Bagi pembangunan wanita dan jantina, Suruhanjaya Wanita Filipina (PCW) akan mengetuai serta menjadi penganjur bersama bagi tiga acara serantau yang utama dari September hingga Oktober di bawah Pengerusian Jawatankuasa Wanita ASEAN, dengan tumpuan kepada kepimpinan wanita, wanita, keamanan dan keselamatan, serta ekonomi penjagaan.
Sidang Kemuncak Pemimpin Wanita ASEAN Keempat berlangsung dari 29 Sept hingga 1 Okt bertemakan “Kepimpinan Wanita untuk Kemakmuran Inklusif di Rantau ASEAN”. Acara itu dijangka menghasilkan Kenyataan Bersama Menteri mengenai Kepimpinan Wanita untuk Kemakmuran Inklusif, seterusnya menetapkan komitmen kesaksamaan jantina bersama menuju visi pasca-2025 ASEAN hingga 2045.
Persidangan ASEAN mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS) pula menyusul dari 6 hingga 8 Okt yang dipimpin bersama oleh PCW dan OPAPRU, manakala Persidangan ASEAN mengenai Pelaburan dalam Penjagaan akan diadakan dari 28 hingga 30 Okt di Metro Manila.
Persidangan WPS berkenaan dijangka menghasilkan syor untuk semakan agenda WPS ASEAN, manakala persidangan ekonomi penjagaan akan melancarkan Nota Panduan ASEAN mengenai Memperkukuh Ekonomi Penjagaan.
Dalam pada itu, Jabatan Pelancongan (DOT) akan menganjurkan Permukiman Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN (ATMR) pada 29 Sept di Manila, sekali gus menyediakan platform informal peringkat tinggi bagi menteri pelancongan membincangkan cabaran baharu, peluang dan arah tuju strategik pelancongan serantau.
Pameran Pelaburan Pelancongan ASEAN yang diadakan seiring permukiman itu akan menghubungkan negara anggota ASEAN dengan pelabur, institusi pembiayaan dan rakan pembangunan. Hasilnya bakal menyumbang kepada Tinjauan Pelaburan serta menyediakan input untuk Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN pada November.
Pada Oktober, Jabatan Tenaga (DOE) akan mengetuai mesyuarat dari 5 hingga 9 Okt, manakala OPAPRU mengadakan aktiviti dari 6 hingga 9 Okt.
Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan (DILG) pula memimpin Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas sempadan ke-20 dari 19 hingga 21 Okt di Manila.
Jabatan Pertahanan Negara (DND) akan menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-20 serta Mesyuarat Berkaitan pada 28 dan 29 Okt di Cebu.
Kesemua mesyuarat ini akan memajukan keutamaan serta keberhasilan Kepengerusian ASEAN oleh Filipina, dengan hasil perbincangan disalurkan terus ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada November.
-- BERNAMA-PNA