KUALA LUMPUR: Mengekalkan doktor dalam sektor awam akan menjadi keutamaan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang baharu Dr L. Sivanaesan memandangkan Malaysia berdepan dengan peningkatan keperluan penjagaan kesihatan, populasi semakin menua serta beban penyakit tidak berjangkit (NCD) yang kian bertambah.
Beliau berkata isu mengekalkan doktor perlu melangkaui sekadar menambah bilangan siswazah perubatan, sebaliknya tumpuan yang lebih besar perlu diberikan kepada perkembangan kerjaya, persekitaran kerja, pembangunan profesional dan prospek jangka panjang dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
“Kita perlu meneliti punca doktor meninggalkan perkhidmatan awam dan langkah yang boleh diambil bagi menjadikan kerjaya dalam sistem penjagaan kesihatan awam satu pilihan yang lebih menarik dan mampan,” katanya dalam ucapan sulungnya pada Majlis Makan Malam Tahunan MMA di Ipoh malam tadi. Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau berkata laluan kerjaya yang lebih jelas dan tersusun bagi doktor yang ingin mengikuti pengkhususan dan seterusnya subpengkhususan juga akan menjadi keutamaan sepanjang tempoh kepimpinannya.
Katanya, ketidakpastian mengenai kemajuan kerjaya boleh menjejaskan perancangan tenaga kerja serta usaha untuk mengekalkan tenaga profesional perubatan yang berpengalaman.
Keutamaan yang dinyatakan Dr Sivanaesan itu dibuat susulan kebimbangan berhubung keselamatan dan kebajikan petugas kesihatan di kawasan pedalaman, berikutan tragedi helikopter di Sarawak Selasa lepas yang meragut lima nyawa termasuk empat petugas kesihatan yang sedang menjalankan misi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).
Beliau berkata tragedi itu memberi peringatan kepada semua berhubung risiko dihadapi petugas kesihatan yang melakukan perjalanan ke kawasan terpencil untuk menyediakan perkhidmatan perubatan penting.
Dalam pada itu, katanya, MMA akan terus mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan mengenai isu yang menjejaskan sektor penjagaan kesihatan swasta, khususnya yang melibatkan pentadbir pihak ketiga dan syarikat insurans.
Dr Sivanaesan turut menyeru agar perkhidmatan pengamal perubatan am swasta di Malaysia yang jumlahnya melebihi 11,000 orang dimanfaatkan dalam usaha mencegah, mengesan dan mengurus NCD.
Beliau berkata pengamal perubatan am swasta beroperasi berhampiran dengan kediaman pesakit dan boleh melengkapi perkhidmatan kesihatan awam dengan menyediakan akses yang lebih mudah untuk rawatan susulan berkala bagi penyakit seperti diabetes, hipertensi serta penyakit kardiovaskular.
Dr Sivanaesan turut melahirkan keyakinan bahawa inisiatif "Satu Individu, Satu Rekod" oleh Kementerian Kesihatan, yang dijangka dilancarkan dalam tempoh beberapa bulan lagi akan memudahkan integrasi lebih erat antara penyedia perkhidmatan kesihatan awam dan swasta menerusi perkongsian rekod perubatan digital yang telah disahkan selamat.
Beliau berkata inisiatif itu boleh membantu mewujudkan laluan rujukan NCD antara sektor awam dan swasta sebelum pelaksanaan penuh sistem rekod perubatan elektronik kebangsaan yang dijangka pada 2028 atau 2029.
-- BERNAMA