Negara-negara anggota Asean, termasuk Malaysia perlu bekerjasama dalam menangani penularan pandemik COVID-19 dan meminimumkan kesan sosio-ekonomi kepada negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan Facebook beliau pada Selasa berkata kesan penularan pandemik yang meluas itu melepas sempadan negara, menjadikan kerjasama untuk membanterasnya di peringkat serantau perlu dibina menerusi rundingan dengan wilayah serantau.

"Tiada jalan pintas untuk keluar daripada pandemik ini, dan melihat kepada kadar pembangunan vaksin COVID-19 ketika ini, satu komuniti berdaya maju, yang mengambil sikap mengatur langkah untuk memelihara kepentingan antara satu sama lain, amat kritikal untuk mengawal pandemik ini.

"... dalam Asean, kita perlu memiliki standard bersama, dan mengelak duplikasi. Bersama kita berdiri teguh di rantau ini untuk menghadapi hari esok dalam keadaan lebih bersedia," katanya.

Beliau turut menggesa negara anggota Asean untuk mejadikan keadaan semasa sentiasa berada dalam kawalan - dari segi sains mendahului politik, perkembangan sains lebih rancak dari politik; di samping terus meningkatkan komunikasi strategik dan melahirkan masyarakat yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Perbincangan berkisar kepada pengurusan Malaysia mengenai pandemik COVID-19, kerjasama dengan ASEAN dan komuniti antarabangsa dalam menangani COVID-19, di samping cara bagaimana mengimbangi antara kesihatan awam dan survival ekonomi.

-- BERNAMA