MALAYSIA
'ASEAN Way' perlu diperkukuh hadapi ketidaktentuan global - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata, ASEAN perlu memberi tumpuan kepada tiga aspek utama dalam mendepani cabaran masa depan serantau.
KUALA LUMPUR: Dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks, ASEAN disaran memperkukuh prinsip teras ASEAN Way serta meneruskan usaha reformasi secara berterusan di peringkat nasional dan serantau.
Ringkasan AI
- ASEAN disaran memperkukuh prinsip ASEAN Way termasuk pendekatan tidak bersekutu dan dialog terbuka, yang terbukti berkesan dalam menghadapi cabaran serantau.
- Kepelbagaian dan integrasi ekonomi perlu diteruskan, dengan tumpuan kepada pasaran dalaman ASEAN serta inisiatif seperti ATIGA, DEFA dan AFISS yang masih belum diteroka sepenuhnya.
- Reformasi berterusan di peringkat nasional dan serantau penting untuk menyesuaikan model ekonomi ASEAN dengan cabaran semasa, termasuk ketidaktentuan global dan perubahan struktur pasaran.
“Prinsip ini telah kekal utuh, termasuk ketika kita berdepan cabaran seperti Liberation Day, dan terbukti memberikan apa yang diperlukan oleh rantau ini pada waktu dan tempat yang tepat,” katanya ketika berucap pada Persidangan PRAXIS 2025 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini, pada Isnin.
Tambah Tengku Zafrul, aspek kedua yang perlu diberi perhatian ialah kepelbagaian dan integrasi ekonomi yang harus diteruskan secara konsisten.
"Pasaran Amerika Syarikat masih penting, namun sedang melalui fasa ketidakpastian di mana perdagangan berasaskan peraturan menjadi semakin kabur dan ini mungkin berlanjutan.
"Dalam masa sama, pasaran ASEAN yang mempunyai 680 juta penduduk merupakan sumber kekuatan yang sangat bernilai untuk membantu kita menghadapi era ketidaktentuan ini," jelasnya.
Tengku Zafrul turut menyebut beberapa inisiatif utama seperti peningkatan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (ATIGA), Dasar Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), dan Sistem Integrasi Kastam ASEAN (AFISS) sebagai contoh peluang yang luas dan belum diteroka sepenuhnya.
"Pembangunan bakat secara serantau juga adalah antara perkara yang wajar diberi perhatian dan diteroka bersama," katanya lagi.
Menurut beliau, aspek ketiga ialah kesinambungan reformasi, baik di peringkat nasional mahupun dalam kerangka ASEAN itu sendiri.
"Reformasi mesti diteruskan. Sama ada kita suka atau tidak, peristiwa seperti Liberation Day membangkitkan persoalan yang mencabar terhadap model ekonomi kita.
"Perubahan yang terbaik bukan semestinya perubahan yang paling drastik, namun kita perlu bersedia untuk mengadakan perbincangan mendalam dan jujur mengenai halatuju yang ingin kita bawa," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami