IPOH: Sebanyak lima ladang ternakan babi yang dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF) di Perak ditutup bagi kerja-kerja memusnahkan ternakan untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan berkata penutupan itu melibatkan satu di Daerah Kuala Kangsar dan empat di Batang Padang.

Menurutnya, penyebaran ASF di ladang-ladang di negeri itu dikesan berpunca daripada kesilapan manusia yang tidak menitikberatkan isu kebersihan.

Tambahnya, walau bagaimanapun jangkitan itu tidak akan menjangkiti manusia selain penyebarannya dapat dikawal melalui kaedah-kaedah keselamatan kesihatan.

“Penyakit ini tidak akan menjangkiti manusia dan oleh sebab itu, orang ramai tidak perlu bimbang dengan perkembangan ini. Saya telah pun mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Dan setakat ini, tiada pertambahan kes jangkittan ASF di Perak sejak dikesan pada Disember lalu,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Operasi Label Makanan Sempena Tahun Baharu Cina, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Sivanesan berkata pelupusan 8,990 ekor babi yang membabitkan nilai RM12 juta itu tidak menjejaskan kadar pengeluaran daging haiwan itu dalam memenuhi permintaan di pasaran menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Ahad ini.

“(Kerja-kerja pelupusan ternakan babi dan jangkitan ASF ini) tidak akan menyebabkan kekurangan atau kenaikan harga bahan mentah itu di pasaran.

“Walau bagaimanapun, para peternak memaklumkan kekurangan daging khinzir mungkin akan berlaku selepas perayaan berkenaan. Namun, bekalan untuk Tahun Baharu Cina setakat ini mencukupi,” jelasnya.

Sebelum ini, Sivanesan dilaporkan berkata sebanyak empat kes penyakit ASF dikesan di Perak membabitkan daerah Batang Padang dan Kuala Kangsar dari Disember lalu, hingga awal tahun ini.

Beliau dilaporkan berkata tiga kes positif ASF itu dikesan di ternakan babi komersial iaitu satu di ladang di Bidor sementara dua di Sungai Siput.

Dalam perkembangan berasingan, Sivanesan berkata, sebanyak 12 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983 dalam pemeriksaan di 75 premis seluruh negeri sempena Tahun Baharu Cina.

Jelas beliau, pemeriksaan melibatkan hamper produk makan terutama butir-butir pelabelan serta perkara-perkara yang dilarang pada mana-mana label.

"Bagi aktiviti pemeriksaan makanan, sebanyak 228 jenis barangan telah disita dengan pelbagai kesalahan yang melibatkan label makanan bernilai RM6,116.99.

"12 sampel limau mandarin telah diambil secara rawak untuk dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh untuk dianalisa racun makhluk perosak," katanya. 

Selain itu, Sivanesan turut mengingatkan peniaga untuk melakukan pemantauan kendiri ke atas produk makanan manakala pengguna perlu bijak memilih makanan dengan membaca label terlebih dahulu.