ASKL 2025: MTDC pacu kesiapsiagaan pembekal tempatan industri aeroangkasa

Hasnol Zam Zam Ahmad meninjau reruai Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) sempena Aeromart Summit Kuala Lumpur (ASKL) 2025, bersama barisan kepimpinan MTDC, tetamu kehormat dan rakan industri. -Gambar MTDC
KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri aeroangkasa global apabila Aeromart Summit Kuala Lumpur (ASKL) 2025 menghimpunkan pengeluar peralatan asal (OEM), pembekal Tier 1, pemain industri serta syarikat teknologi tempatan di bawah satu platform perdagangan strategik.
Pengerusi Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Tan Sri Abdul Rahman Mamat, berkata kesiapsiagaan pembekal tempatan perlu dipertingkat bagi memastikan lebih banyak syarikat Malaysia mampu menembusi rantaian bekalan antarabangsa.
Menurutnya, Aeromart berfungsi sebagai pemangkin penting untuk mempercepat perjalanan pensijilan dan meningkatkan keupayaan teknikal syarikat tempatan agar menepati standard global.
“Penglibatan kami dalam Aeromart Summit membantu syarikat-syarikat Malaysia memahami jangkaan OEM dan Tier 1, mempercepat perjalanan pensijilan mereka dan mengukuhkan kesiapsiagaan untuk menyertai rantaian bekalan global,” katanya pada majlis pelancaran ASKL 2025 di MATRADE Exhibition and Convention Centre (MECC).
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan.

Di ASKL 2025, wakil MTDC menerangkan program dan laluan kerjasama kepada para pengunjung sambil memperincikan perkhidmatan ekosistem yang ditawarkan. -Gambar MTDC
Tambahnya, Malaysia kini telah membina asas keupayaan kukuh dalam aerostruktur, kejuruteraan digital, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), selain pemesinan berketepatan tinggi.
Namun katanya, usaha perlu dipergiat untuk menutup jurang dalam produktiviti, pensijilan, automasi dan adopsi teknologi baharu.
ASKL 2025 turut memberi tumpuan kepada pembangunan industri masa depan melalui teknologi seperti automasi, robotik, bahan maju, digital twin dan Sustainable Aviation Fuel (SAF), selaras sasaran negara di bawah New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Transisi Tenaga Negara (NETR).
Mengulas perspektif dasar, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata landskap aeroangkasa global kini berubah pesat berikutan perkembangan teknologi, pergolakan rantaian bekalan dunia dan keutamaan baharu terhadap keselamatan serta kelestarian.
“Landskap aeroangkasa hari ini dibentuk bukan sahaja oleh kemajuan teknologi tetapi juga perubahan rantaian bekalan, keutamaan global yang berkembang serta keperluan mendesak untuk membina sistem yang lebih selamat, bersih, saling berhubung dan lebih berdaya tahan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa perbincangan strategik dalam ASKL 2025 penting bagi menyediakan hala tuju masa depan industri aeroangkasa, termasuk pembangunan bakat kejuruteraan, reka bentuk berasaskan AI, robotik dan bahan maju yang mampu memberi limpahan manfaat kepada sektor ekonomi lain.

Pelawat ASKL 2025 mendapatkan maklumat mengenai laluan komersial serta tawaran perkhidmatan untuk syarikat teknologi di reruai MTDC. -Gambar MTDC
Sektor aeroangkasa Malaysia pada masa ini disokong oleh 230 hingga 240 syarikat, terutamanya dalam bidang MRO dan aero-manufacturing, dengan jejak yang semakin berkembang dalam integrasi sistem dan perkhidmatan kejuruteraan.
Industri ini turut menjana sekitar 30,000 pekerjaan berkemahiran tinggi, selain menarik pelaburan berjumlah RM1.5 bilion pada 2024 iaitu satu petunjuk keyakinan pelabur terhadap potensi sektor strategik tersebut.
Sebagai rakan strategik industri, MTDC memanfaatkan platform Aeromart untuk memadankan syarikat teknologi tempatan dengan pembeli antarabangsa melalui sesi padanan perniagaan B2B, bengkel teknikal dan perbincangan berkaitan ketahanan rantaian bekalan, transformasi digital, automasi, serta keselamatan siber dalam operasi aeroangkasa.
MTDC turut menekankan pembangunan modal insan melalui program seperti TENTRA yang melatih jurutera dan juruteknik dalam kemahiran pemesinan berterusan, analitik data, digital twin dan robotik iaitu komponen kritikal bagi menyokong pengeluaran bernilai tinggi dalam aeroangkasa dan mobiliti generasi baharu.
Penganjuran ASKL 2025 dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama teknologi, pelaburan serta penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem aeroangkasa global, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia menjadi hab serantau bagi teknologi berimpak tinggi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


