SAN FRANCISCO: Aplikasi perkongsian video pendek popular yang pernah ditutup pada 2016, Vine, kini dilancarkan semula dengan penjenamaan baharu sebagai diVine.
Projek yang mendapat sokongan pengasas bersama Twitter, Jack Dorsey, itu mengekalkan format video gelung enam saat yang menjadi identiti asalnya, lapor Amanz.
Advertisement
Menerusi penjenamaan semula ini, diVine turut memperkenalkan arkib yang mengandungi lebih 500,000 video asal Vine untuk tontonan pengguna.
Selain itu, aplikasi berkenaan menekankan komitmen terhadap kandungan asli manusia dengan melarang sebarang muat naik video yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) bagi mengekalkan kualiti kreatif yang tulen.
Pengasas diVine, Evan Henshaw-Plath, berkata aplikasi itu kini beroperasi menggunakan protokol terdesentralisasi Nostr bagi memberikan kuasa penuh kepada pencipta kandungan terhadap algoritma dan pemilikan data.
Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk mengembalikan nostalgia era Web 2.0 di mana komuniti dibina berasaskan kreativiti pengguna dan bukannya manipulasi algoritma.
Buat masa ini, diVine boleh dimuat turun secara rasmi di platform iOS dan Android selepas fasa ujian beta berakhir.
Kehadiran semula aplikasi itu dijangka menambah persaingan dalam landskap video pendek global yang kini dikuasai oleh TikTok dan Instagram Reels.