MELAKA: Berulang-alik menaiki bas sejak tiga tahun lepas dari Pengkalan Balak, Alor Gajah ke Hub Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Klebang di sini, sudah menjadi rutin harian setiap pagi buat Halimah Isnin, 42.

Ibu tunggal itu berkata, beliau ke bengkel berkenaan bagi mempelajari pelbagai ilmu berkaitan bidang keusahawanan terutama pembungkusan secara 'retort' bagi menghasilkan sendiri pes bagi produk mee sizzlingnya.

Halimah yang memiliki enam anak berusia antara 12 hingga 21 tahun berkata, kehidupan sukar selepas suaminya meninggal dunia lima tahun lepas menyebabkan beliau menceburi bidang keusahawanan bagi mengubah nasib keluarga.

"Pada mulanya saya bekerja sebagai pembantu kedai dan suami pula tukang masak namun selepas kematian suami menyebabkan saya menceburi bidang keusahawanan di bawah MAIM.

"Saya bermula dengan membuat popia carbonara tetapi memandangkan ia produk sejuk beku... sangat sukar nak simpan dalam peti sejuk sebelum diperkenalkan oleh seorang rakan untuk belajar mengenai pembungkusan 'retort' ini," katanya kepada pemberita pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SIRIM Berhad di sini hari ini.

Beliau berkata, seorang daripada anaknya kemudian mencadangkan agar beliau membuat pes sizzling berdasarkan resipi daripada arwah suaminya.

"Saya ambil masa dua, tiga bulan juga nak ingatkan kembali resipi yang sering digunakan arwah suami. Mungkin itu cabaran paling besar ditempuh ketika memulakan perniagaan ini.

"Saya kemudian mendapat bantuan modal sebanyak RM3,000 bagi memulakan perniagaan di Hub Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf MAIM ini serta masih menerima bantuan bulanan daripada agensi itu sebanyak RM200 sebulan.

"Alhamdulillah, saya mendapat tempahan kira-kira 30 pek seminggu daripada pelanggan dan pendapatan juga bertambah sekitar RM3,000 sebulan," kata asnaf berasal dari Singapura itu yang menjalankan perniagaan secara luar talian.

Sementara itu, penyelaras Hub Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf MAIM, Zaidi Omar, 55, berkata SIRIM Berhad memperuntukkan sebanyak RM100,000 sebagai geran kepada 10 usahawan asnaf di hab berkenaan.

Beliau berkata, seorang usahawan menerima geran bernilai RM10,000 meliputi penjenamaan produk yang berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), pelekat produk lengkap fakta nutrisi selepas menjalani ujian makmal serta khidmat rundingan reka bentuk pelekat dan logo.

"Harapan kita dengan pelabelan yang lengkap ini akan membantu usahawan asnaf untuk memasarkan produk mereka ke lebih banyak pasar raya dan menembusi pasaran luar Melaka pula," katanya. - BERNAMA