Skip to main content

Bisnes

Astro Malaysia jual aset perniagaan jalur pada harga RM83 juta

Astro Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang suku kedua 2027, tanpa mengambil kira keadaan luar jangka. - Gambar fail
Astro Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang suku kedua 2027, tanpa mengambil kira keadaan luar jangka. - Gambar fail

Advertisement

ANAK syarikat milik penuh Astro Malaysia Holdings Bhd, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS), memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Maxis Broadband Sdn Bhd untuk menjual aset perniagaan jalur lebarnya pada harga RM83 juta.

Maxis Broadband ialah anak syarikat milik penuh Maxis Bhd.

Kumpulan media dan hiburan bersepadu itu berkata penjualan berkenaan dikategorikan sebagai urus niaga pihak berkaitan berikutan kepentingan pengarah yang berkepentingan, pemegang saham utama serta pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka.

Sementara itu, Astro Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang suku kedua 2027, tanpa mengambil kira keadaan luar jangka.

Katanya cadangan penjualan itu memberi peluang kepada kumpulan untuk merealisasikan nilai aset berkenaan, di samping mengurangkan pendedahan kepada risiko operasi dan komersial yang berkaitan dengan pengendalian perniagaan jalur lebar runcit.

“Kumpulan dijangka merekodkan keuntungan daripada penjualan aset perniagaan jalur lebar itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan tunai Astro Malaysia dan memberikan fleksibiliti lebih besar untuk menyalurkan semula sumber kepada perniagaan terasnya, iaitu kandungan, hiburan, pengiklanan dan perniagaan pengguna berkaitan.

“Lembaga pengarah berpendapat cadangan pelupusan itu akan membolehkan Astro memperuntukkan modal dan sumber pengurusan dengan lebih cekap bagi menyokong objektif strategik jangka panjang syarikat, termasuk pelaburan dalam kandungan, produk dan teknologi untuk terus meningkatkan pengalaman pelanggan,” katanya.

Kumpulan itu berkata hasil pelupusan akan digunakan untuk modal kerja dalam tempoh 36 bulan, manakala baki hasil akan diperuntukkan bagi menampung perbelanjaan berkaitan cadangan pelupusan itu dalam tempoh tiga bulan selepas urus niaga selesai.

Pelupusan yang dicadangkan itu tidak akan menjejaskan modal saham Astro atau pegangan saham pemegang saham utamanya kerana urus niaga berkenaan tidak melibatkan penerbitan saham baharu.

Public Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat bebas untuk menasihati pemegang saham dan pengarah Astro Malaysia yang tidak mempunyai kepentingan dalam cadangan pelupusan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement