Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berpuas hati dengan perkhidmatan Astro Njoi yang diberi percuma kepada lebih 10,000 Orang Asli di Hulu Kelantan sejak dilancar Julai lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata pemasangan lebih 300 dekoder dan televisyen secara berperingkat di perkampungan komuniti itu membolehkan Orang Asli menerima siaran lebih jelas.

"Ini membolehkan mereka menerima mesej dan maklumat daripada kerajaan dengan tepat menerusi siaran televisyen berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Jalinan Kasih anjuran jabatannya di Pos Gob di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya masalah bekalan elektrik yang tidak mencukupi menyebabkan rata-rata penduduk Orang Asli menyaksikan siaran televisyen di dewan orang ramai.

Generator yang membekalkan elektrik di kampung Orang Asli ini tidak mencukupi dan perkara ini akan dibawa kepada pihak atasan bagi membolehkan lebih banyak generator dibekal kepada komuniti itu, katanya.

Mengenai kembara jalinan kasih itu, Ibrahim berkata program bertujuan meninjau dan mengenal pasti masalah yang dihadapi kaum Orang Asli terutama yang tinggal jauh di kawasan pedalaman.

"Namun, apa yang kita lihat suasana kampung Orang Asli sekarang ini juga sudah jauh berubah hasil daripada pelaksanaan pelbagai kemudahan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli," katanya.

Beliau berkata peserta program juga menjalankan gotong-royong membaik pulih rumah Orang Asli.

"Apa yang kita lihat penduduk kaum itu sentiasa menanti kunjungan pemimpin dan ini membuatkan kita berasa bangga dan berusaha menjayakan program sebaik mungkin bagi membaiki kehidupan Orang Asli supaya berada di tahap yang terbaik," katanya.