Skip to main content

Malaysia

Astro-RCKL DiRaja meterai MoU perkasa komuniti, sasar 10,000 kanak-kanak untuk program badminton

Sumber: Astro AWANI
Laila Saat (tengah) dan Seyed Ehsan Masoumi (dua dari kanan) memeterai MoU bagi memperkukuh inisiatif pembangunan belia, kesejahteraan komuniti dan kelestarian - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) dan Rotary Club Kuala Lumpur DiRaja (RCKL DiRaja) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh inisiatif pembangunan belia, kesejahteraan komuniti dan kelestarian, sekali gus memanfaatkan kekuatan serta rangkaian kedua-dua organisasi untuk mewujudkan impak sosial yang bermakna.

Kerjasama itu turut memperkukuh komitmen Astro dalam memacu perubahan positif menerusi agenda 'Voice for Good', dengan memberi tumpuan kepada pendidikan, keterangkuman, pemerkasaan belia serta pembangunan komuniti secara mampan.

Presiden RCKL DiRaja, Seyed Ehsan Masoumi, berkata kerjasama berkenaan akan membolehkan kedua-dua pihak memaksimumkan kekuatan, rangkaian dan sumber masing-masing bagi memperluas manfaat kepada masyarakat.

Image
Sumber: Astro AWANI
Seyed Ehsan berkata antara sasaran utama kerjasama dengan Astro adalah memberi peluang kepada antara 5,000 hingga 10,000 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun menjalani saringan bagi program badminton - Astro AWANI

Beliau berkata RCKL DiRaja, sebagai organisasi khidmat masyarakat yang mempunyai sejarah panjang di Malaysia, berperanan menjadi penghubung dengan membuka ruang kepada pelbagai pihak yang mempunyai aspirasi sama untuk berkhidmat kepada komuniti.

“Rotary membina jambatan dan membuka pintu. Ia menjadi platform untuk menghimpunkan individu yang mempunyai pemikiran sama, yang sanggup berkhidmat serta menggunakan niat baik untuk melakukan sesuatu yang lebih baik kepada komuniti.

“Kami menggunakan rangkaian dan hubungan kami untuk menghimpunkan semua pihak bagi mewujudkan sinergi dan meningkatkan impak demi manfaat rakyat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelantikan Presiden Ehsan Ke-99, di sini pada Sabtu malam.

RCKL DiRaja merupakan kelab Rotary tertua di Asia Tenggara, yang ditubuhkan pada 1928.

Sebagai sebahagian daripada Rotary International, kelab itu memberi tumpuan kepada usaha kemanusiaan tempatan, khidmat komuniti serta pelbagai projek kebajikan di Malaysia.

Mengulas lanjut, Seyed Ehsan berkata antara sasaran utama kerjasama dengan Astro adalah memberi peluang kepada antara 5,000 hingga 10,000 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun menjalani saringan bagi program badminton.

Menurutnya, inisiatif itu akan dikembangkan daripada sekadar program sukan kepada program transformasi yang turut merangkumi aspek kepimpinan, kesukarelawanan serta pembinaan keamanan dan perpaduan.

“Badminton merupakan tulang belakang pasukan kebangsaan dan ia juga adalah antara program utama Astro sejak 12 tahun lalu.

“Tahun ini, Rotary hadir untuk memberi nilai tambah, bukan sahaja membantu menjangkau lebih ramai kanak-kanak, tetapi juga menjadikannya program transformasi melalui kepimpinan, kesukarelawanan, keamanan dan pembinaan perpaduan,” ujarnya.

Beliau menambah RCKL DiRaja turut memberi tumpuan kepada tiga bidang utama tahun ini iaitu kelestarian alam sekitar, kesihatan mental dan transformasi belia menerusi sukan bersama Astro.

Dalam pada itu, Seyed Ehsan berkata RCKL DiRaja menyasarkan lebih 10,000 golongan B40 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk menjalani saringan dan intervensi kesihatan mental.

Katanya, program perintis turut akan dilaksanakan di enam sekolah bermula bulan depan bagi menjalankan penilaian kesihatan mental terhadap pelajar dan guru, selain program pencegahan bunuh diri serta intervensi berkaitan.

Dalam masa sama, Seyed Ehsan menjelaskan RCKL DiRaja, yang kini menghampiri ulang tahun ke-100 penubuhannya, akan terus memperluas khidmat kepada masyarakat menerusi pelbagai kerjasama strategik.

Image
Sumber: Astro AWANI
Laila berkata, pihaknya berhasrat memperkasakan golongan belia, meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu sosial yang penting serta memacu tindakan positif yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia yang lebih inklusif - Astro AWANI

Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Kawal Selia dan Korporat Astro, Laila Saat, berkata perubahan bermakna dapat dicapai menerusi kerjasama kukuh serta komitmen bersama terhadap impak kepada komuniti.

“Di Astro, kami percaya perubahan yang bermakna dapat dicapai menerusi kerjasama yang kukuh serta komitmen bersama terhadap impak kepada komuniti.

“Kerjasama kami dengan RCKL menghimpunkan rangkaian komuniti mereka yang luas dengan capaian serta keupayaan penceritaan Astro.

“Menerusi kerjasama ini, kami berhasrat untuk memperkasa golongan belia, meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu sosial yang penting serta memacu tindakan positif yang menyumbang kepada Malaysia yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan," ujar beliau.

Astro turut akan memanfaatkan platform dan keupayaan penceritaannya bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), selain menggalakkan penglibatan awam serta tindakan positif terhadap isu yang penting kepada masyarakat.

Kerjasama itu juga membuka peluang kepada pelajar dan golongan muda mendapatkan pendedahan kepada industri media dan kreatif menerusi lawatan vokasional serta program penglibatan industri, sekali gus membantu mereka meneroka laluan kerjaya dan membangunkan kemahiran berkaitan.

 

Must Watch Video

Advertisement