Rangkaian saluran Astro menyajikan pelbagai program baharu dan menarik sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-63.

Antaranya ialah dokumentari ‘Malaysia vs Covid: Kita Jaga Kita’ yang merangkumkan kisah inspirasi rakyat Malaysia ketika menghadapi COVID-19 serta ‘Bertakhta Di Hati Rakyat' yang menceritakan kisah di sebalik pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, filem ‘Aku Posmen, Kau Latifah, Dia Joseph’ yang dibintangi Lisa Surihani turut disiarkan dalam memeriahkan bulan kemerdekaan ini.

Menurut penerbit dokumentari ‘Malaysia vs Covid: Kita Jaga Kita’, Lina Tan, bukan mudah untuk menghasilkan dokumentari ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun hasilnya sungguh berbaloi.

“Kami telah mengambil masa yang agak lama untuk merangkumkan semua cerita-cerita COVID-19 di dalam negara. Pertama sekali kami memilih (cerita) dari segi apa mesej yang ingin disampaikan, apa semangatnya.

"Kami memutuskan untuk mengangkat naratif apa yang membuatkan rakyat Malaysia berbeza berbanding negara lain di dunia ketika berhadapan COVID-19 yang melanda dunia... apa yang menyatukan kita... kami mencari cerita yang membuatkan kita berasa tersentuh," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas pelancaran serta tayangan perdana kandungan Astro sempena Hari Kemerdekaan yang bertema 'Malaysiaku Kita Selamat Bersama', di Tournament Players Club (TPC) Kuala Lumpur, pada Selasa.

Dokumentari ‘Malaysia vs Covid: Kita Jaga Kita’ boleh ditonton di beberapa saluran Astro termasuk 501 Astro Awani, 104 Astro Ria, dan 507 Astro Hello, pada 12 September 2020, jam 6 petang.

Program-program lain yang dapat dinikmati sempena kempen Astro 'Malaysiaku Kita Selamat Bersama' bermula 25 Ogos 2020 sehingga 17 September 2020 termasuk ‘Judi Dench Wild Borneo Adventure’, ‘Work To Live S2’, Ottrumaiye Balam dan pelbagai lagi.