KUALA LUMPUR:Kelesuan ekonomi negara perlu diatasi segera dengan beralih kepada pertumbuhan yang berganda, pelaburan bermutu dalam sektor teknologi dan innnovatif serta membuka pasaran dengan lebih agresif, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Untuk mencapai tujuan itu, Mohamad berpendapat Malaysia perlu bermula dengan memiliki sebuah kerajaan yang stabil, kabinet yang progresif dan dasar ekonomi yang berevolusi.

Jelas beliau, pandemik COVID-19 tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk ekonomi terus pegun dan terencat seperti yang berlaku sekarang.

"Sehingga sekarang, kita tidak melihat sesuatu yang meyakinkan menjelang terbitnya fajar 2021. Semoga semua ini akan segera berubah kerana Malaysia sebelum ini adalah jauh lebih dinamik.

"Kita mesti segera menjadi yang terbaik semula di Asia Tenggara tanpa berlengah," kata Mohamad menerusi satu kenyataan di Facebooknya.

Mohamad memetik laporan teknologi Nikkei Asia pada 4 Dis lalu yang memaklumkan di Indonesia syarikat teknologi gergasi Amerika melabur dalam pelbagai perniagaan internetnya.

Katanya, menjelang 2025, Indonesia akan menjadi ekonomi kelima terbesar dunia ekoran ekonomi digitalnya yang telah berkembang lima kali ganda semenjak 2015.

Menurut Mohamad. ekonomi digital Indonesia kini dianggarkan bernilai USD44 bilion (RM178.8 bilion) pada 2020 dan akan mencapai USD125 bilion (RM507.5 bilion) pada 2025.

"Malaysia, pada tahun 2020, menyaksikan pelbagai drama politik yang terus menyuramkan lagi iklim pelaburan. Pandemik COVID-19 terus meletakkan ekonomi Malaysia pada kemelesetan terparah dalam sejarah.

"Tiga minggu dari sekarang, akan menyinsinglah fajar 2021. Kita akan mengakhiri tahun 2020 dengan tiada pencapaian penting, apatah lagi lonjakan baru untuk kemajuan dan kebolehsaingan," katanya lagi.

Mohamad turut mengingatkan bahawa Indonesia, Vietnam, Thailand dan Kemboja terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang berdaya saing, menarik pelaburan teknologi dan menjadi negara perindustrian yang penting.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu juga mengingatkan bahawa negara seberang Tambak Johor, Singapura juga semakin jauh meninggalkan Malaysia.

"Sesuatu mesti dilakukan segera. Kelesuan iklim pelaburan kita tidak boleh berterusan begini. Malaysia bermula dengan ekonomi perindustrian berorentasi eksport.

"Sekarang sektor perindustrian kita sangat jauh terkebelakang. Malaysia pada hemat saya 'is experiencing premature deindustrialization'.

"Sektor pertumbuhan baru seperti ekonomi digital, perbankan dan kewangan pula, terus malar tanpa impetus pertumbuhan radikal. Kita telah membuang begitu banyak masa dan peluang dalam tahun 2020.

"Kita mesti meraikan kedatangan tahun 2021 dengan ‘a bold, robust and inclusive economic agenda’.

"Agenda reset ekonomi mesti segera beralih kepada pertumbuhan yang berganda, pelaburan bermutu dalam sektor teknologi dan innnovatif serta membuka pasaran dengan lebih agresif," katanya lagi.

 
Sumber Facebook TokMatHasanN9