KUCHING: "Jangan anggap atlet kebangsaan yang tidak berjaya seperti sampah sebaliknya beri sokongan moral untuk menaikkan semangat,".

Demikian tegas Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika mengulas pencapaian ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dalam temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Beliau turut menempelak tajuk berita sebuah akhbar nasional yang seakan menjatuhkan lagi semangat atlet negara itu selepas kegagalannya menghadiahkan sebarang pingat untuk kontinjen Malaysia.

“Saya agak kecewa dengan tajuk berita akhbar tempatan yang mengatakan Pandelela balik dengan tangan kosong. Anda sebagai wartawan, terdapat banyak cara menulis, meletakkan kapsyen terhadap prestasi atlet yang mewakili negara di kejohanan dunia yang telah berlatih siang dan malam.

“Bukan untuk mengatakan saya adalah fanatik kepada atlet Sarawak, tetapi tidak kira dia (Pandelela) atlet Sarawak atau Semenanjung Malaysia sekali pun, anda tidak boleh tendang mereka atau menghukum hero negara hanya kerana mereka tidak dapat pingat,” katanya.

Abdul Karim berkata para atlet yang pulang tanpa sebarang pingat tidak harus dilayan sedemikian sambil menyifatkan tindakan itu seolah mereka adalah tebu yang tidak manis dan dibuang seperti sampah.

Dalam pada itu, katanya prestasi Pandelela semasa temasya itu harus diteliti dalam pelbagai sudut dan aspek termasuk faktor usia.

“Saya rasa dia sudah melakukan yang terbaik, kita harus faham bahawa faktor usia juga memainkan peranan, bukan untuk menjatuhkan moral tetapi dia sudah hampir berusia 30 tahun, kemuncak prestasi adalah ketika anda masih remaja pada awal 20-an,” katanya.

Atas sebab itu juga tegasnya beliau membantah keputusan acara terjun bagi kategori wanita digugurkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

Menurutnya, pertandingan di peringkat nasional penting bagi mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu atlet yang berpotensi untuk mewakili negara khususnya sukan terjun.

“Bagaimana anda hendak membangunkan sukan terjun, sekiranya anda sendiri yang membatalkan acara yang banyak menyumbang pingat kepada negara,” tegas Abdul Karim.