Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir.

Menurutnya, kerajaan telah merangka prosedur tindakan (Standard Operating Procedure) sekiranya keadaan pergolakan di negara itu semakin merbahaya.

Setakat ini, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini berada di Mesir bagi menilai situasi tahap keselamatan negara itu untuk melaksanakan misi berkenaan.

“Kementerian Pertahanan dari Angkatan Tentera Malaysia sudah siap sedia cuma kami perlu tengok dari peringkat. Peringkat pertama nak mengambil keputusan bila sepatutnya kami membawa balik rakyat khususnya pelajar Malaysia. Hari ini wakil dari Majlis Keselamatan Negara berada di Cairo bersama Wisma Putra dan akan menentukan masa yang sesuai.

“Peringkat yang kedua ialah untuk mengenalpasti pelajar pelajar Malaysia dan mereka yang perlu kembali. Sekiranya perlu, kita terpaksa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan. Kita harus berkerjasama rapat dengan agensi agensi yang menaja pelajar pelajar kami seperti Petronas, JPA dan sebagainya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis Penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat kepada Menteri Pertahanan di Kem Terendak Sungai Udang, Melaka.

Turut hadir, Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron.

Sebagai langkah awal, sekiranya keadaan semakin buruk, rakyat Malaysia akan ditempatkan di 14 rumah milik kerajaan negeri dan Wisma Putra disyorkan mencari bangunan bersesuaian untuk dijadikan asrama penempatan sementara.

Bagaimanapun, mereka dijangka akan dibawa keluar menggunakan pesawat komersil terus ke Malaysia sekiranya keadaan semakin getir.

Manakala, dua pesawat C130 Tentera Laut Diraja Malaysia disediakan untuk operasi sekiranya diperlukan biarpun terpaksa menghadapi penerbangan lebih lama selain memerlukan pelepasan diplomatik bagi melalui ruang udara negara terlibat.

Namun, pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah memaklumkan bahawa masih tiada keperluan untuk membawa rakyat malaysia keluar dari negara itu.

Garis panduan keselamatan turut dikeluarkan dengan menasihati mereka tidak terlibat dalam sebarang perhimpunan diadakan dan menjauhkan diri dari kawasan rusuhan.