KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia mempertimbangkan pengaturan gerak aset udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan penggantungan sementara perkhidmatan Flying Doctor Service di Sarawak.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, bantuan itu akan dilaksanakan sebagai sokongan sementara atau gap filler, khususnya bagi memenuhi keperluan pemindahan udara untuk kes kecemasan dari kawasan pedalaman dan sukar diakses.
Menurutnya, sokongan berkenaan bukan bertujuan mengambil alih keseluruhan fungsi Flying Doctor Service, sebaliknya membantu mengisi jurang keupayaan kritikal sepanjang perkhidmatan itu belum dapat beroperasi sepenuhnya.
Sebarang permohonan bantuan perlu disalurkan menerusi saluran rasmi antara KKM dan ATM sebelum dinilai berdasarkan tahap kecemasan, keperluan semasa serta kesesuaian dan ketersediaan aset.
Atur gerak aset turut mengambil kira keadaan cuaca, faktor keselamatan penerbangan serta keutamaan tugas operasi dan tahap kesiagaan semasa ATM.
Malek Razak berkata, ATM mempunyai keupayaan dan pengalaman melaksanakan pemindahan udara bagi membantu orang awam yang memerlukan rawatan kecemasan dari kawasan sukar diakses.
“Dalam kerangka keselamatan menyeluruh, ATM sentiasa bersedia memberikan sokongan kepada kementerian dan agensi awam ketika diperlukan, khususnya dalam situasi kritikal yang melibatkan keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Kesediaan itu selaras dengan Tonggak Keenam Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-24, “ATM Bersama Masyarakat, Bagai Aur Dengan Tebing”, yang menekankan hubungan erat antara ATM dan masyarakat.