Skip to main content

Malaysia

Bekalan beras mencukupi, rakyat tidak perlu panik - Mohamad Sabu

Mohamad (foto) bercakap ketika sidang media pada Program Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi di Bendang Belukar hari ini. -fotoBERNAMA
Mohamad (foto) bercakap ketika sidang media pada Program Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi di Bendang Belukar hari ini. -fotoBERNAMA
Advertisement

KOTA BHARU: Bekalan makanan negara termasuk beras masih mencukupi dan stabil, justeru rakyat tidak perlu panik atau membuat pembelian secara berlebihan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan kemungkinan fenomena Super El Nino.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini keadaan bekalan makanan negara masih terkawal dan belum memerlukan rakyat menyimpan stok makanan seperti beras dan telur dalam kuantiti yang banyak.

Beliau berkata kerajaan akan memaklumkan kepada rakyat sekiranya berlaku perubahan terhadap keadaan bekalan makanan negara yang memerlukan tindakan tertentu.

Advertisement

“Setakat ini kita tidak perlu panik apa-apa. Tidak perlu beli beras atau telur untuk simpan banyak-banyak.

“Insya-Allah kalau sampai peringkat itu kita akan beritahu tetapi setakat ini keadaan makanan masih stabil,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi di Bendang Belukar di sini hari ini.

Advertisement

Mohamad turut memberi jaminan bekalan beras ketika ini mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat meskipun negara sedang membuat persediaan menghadapi perubahan cuaca dan kemungkinan gangguan terhadap sektor agromakanan.

“Cukup. Masih ada. Beras pun cukup, insya-Allah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai persiapan stok makanan untuk menghadapi MTL.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement