Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia membantu Operasi Bersepadu membanteras pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di seluruh negara bermula semalam.

Menegaskan demikian, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata ATM pernah terlibat dalam penguatkuasaan Proses Pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) dan tidak menolak kemungkinan ATM terlibat dalam operasi bersepadu kali ini.

"Kami sedia. Akan dilakukan secara adhoc bila ada keperluan," katanya dalam sidang berita selepas majlis Rumah Terbuka ATM dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Muzium DiRaja (Istana Negara Lama) di sini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

KDN memulakan gerakan besar-besaran memburu Pati semalam selepas mereka diberikan masa secukupnya dalam program pemutihan 6P sebelum ini.

Khalid pula berkata setakat ini operasi bersepadu memburu Pati belum melibatkan ATM.

"Tapi tidak mustahil (ATM akan terlibat selepas ini)...setakat ini operasi bersepadu itu melibatkan Jabatan Imigresen, PDRM, pihak kastam dan lain-lain," katanya.

Ditanya dalam keadaan macam mana ATM diperlukan, Khalid menjawab: "Itu kita akan timbang kemudian."

Beliau menegaskan, "Kita akan round them up (berkas) semua pendatang asing yang masih berdegil. Saya tidak mahu memberi jumlah atau buat spekulasi berapa ramai yang masih berada di sini.

"Ini bukan pemutihan. Tempoh 6P sudah selesai. Sekarang ialah masa untuk mengambil tindakan dan menangkap mereka yang masih berada di negara ini dan tumpuan di Semenanjung dulu," katanya.

Khalid berkata operasi bersepadu itu diketuai Jabatan Imigresen dengan mendapat kerjasama PDRM.

Kepada soalan lain, Khalid berkata polis akan siasat tindakan pihak tertentu yang dilaporkan cuba mengibar Sang Saka Malaya menggantikan Jalur Gemilang pada ambang Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-56 baru-baru ini.