MALAYSIA
ATM sedia serah dokumen sensitif kepada SPRM - Panglima

Mohd Nizam berkata dari awal ATM telah menyatakan komitmen penuh dan tanpa berselindung dalam membantu siasatan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menyerahkan dokumen sensitif kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan sindiket penyeludupan yang didakwa melibatkan pegawai kanannya.
Ringkasan AI
- ATM menyatakan komitmen penuh untuk membantu siasatan SPRM berhubung sindiket penyeludupan melibatkan pegawai kanan, termasuk kesediaan menyerahkan dokumen sensitif dan laporan sulit kepada pihak berkuasa.
- Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengesahkan lima pegawai yang ditahan adalah daripada Bahagian Perisikan Pertahanan (MDIO), dan menegaskan tiada kompromi terhadap operasi kerana anggota terlibat telah diganti segera.
- ATM akan terus memberi kerjasama telus dan menyifatkan siasatan ini sebagai peluang memperkukuh organisasi, sambil menaruh keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan dalam menangani isu kelompongan yang dikenal pasti.
"Perkara utama adalah untuk kita memastikan sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak. Sekiranya benar, kita akan melaksanakan tindakan sewajarnya. Sekiranya tidak, alhamdulillah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemasyhuran bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang Panglima ATM sekali gus menjadi individu pertama dilantik ke dalam Hall of Fame Maktab Ketahanan Nasional (MKN), di sini hari ini.
Mohd Nizam berkata tiada sebarang kompromo terhadap operasi apabila lima anggota yang ditahan telah segera diganti tanpa menjejaskan kelancaran tugas di lapangan.
Beliau berkata kerjasama penuh ketelusanan akan diberikan manakala ATM turut berusaha mendapatkan gambaran jelas berhubung kejadian itu.
PAT juga mengesahkan lima pegawai kanan yang ditahan adalah daripada Bahagian Perisikan Pertahanan (MDIO), sambil menegaskan semua pihak perlu memberi ruang dan masa kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara adil tanpa sebarang spekulasi awal.
"Ia mencerminkan sesuatu yang tidak elok bagi sebuah organisasi yang menjadikan pertahanan negara sebagai tanggungjawab utama.
"Sekiranya benar perkara ini berlaku, kita telah mengesan adanya kelompongan yang perlu diperbaiki. Namun, kita tidak sepatutnya berasa lemah, sebaliknya ini adalah langkah untuk memperkukuh dan memperkasakan organisasi demi menghadapi cabaran akan datang," katanya.
Ditanya mengenai pusingan kerja akan dilaksanakan dalam bahagian itu, Mohd Nizam berkata beliau yakin dengan kepimpinan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali Alias, yang kini melaksanakan tugas berkenaan dengan sewajarnya.
"Saya mempunyai penuh keyakinan beliau dapat mengambil langkah tepat. Perkara ini juga memberi peluang untuk kita memahami mengapa kelompongan ini berlaku dan sama ada ia benar-benar wujud atau hanya spekulasi," katanya.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilapor berkata SPRM akan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi melengkapkan siasatan berhubung sindiket penyeludupan yang dipercayai membabitkan pegawai kanan ATM.
Beliau berkata maklumat termasuk laporan dikategorikan sulit itu dijangka membantu siasatan berhubung kegiatan yang dipercayai berlaku kebanyakannya di perairan Selat Melaka di Melaka dan Johor.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami