BUKIT KAYU HITAM: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggagalkan cubaan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini melalui laluan di sempadan negara Malaysia-Thailand, di sini, pada Isnin.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataannya berkata, kesemua PATI warga Myanmar itu ditahan menerusi tiga siri tangkapan di bawah Sektor OP BENTENG Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).

Tangkapan petama dilakukan ketika anggota ATM sedang melakukan rondaan telah mengesan dan menahan sembilan orang di kawasan semak di dalam kebun getah berhampiran laluan paip gas di Bukit Kayu Hitam, pukul 3.15 petang.

“Tidak lama selepas itu anggota yang sedang melakukan kawalan sekali lagi telah mengesan dan menahan seramai empat orang dipercayai daripada kumpulan yang sama pada jam 6.45 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya iaitu seramai 13 orang adalah PATI warganegara Myanmar terdiri daripada 10 lelaki dan tiga perempuan berusia 18 hingga 40 tahun tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.



Sementara itu, hasil maklumat risikan anggota operasi berjaya mengesan dan menahan enam PATI lain dan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai tekong darat ketika melintasi sempadan negara di Tanah Merah, Kelantan pada pukul 6.30 petang.

Hasil pemeriksaan mendapati semua PATI warganegara Myanmar berusia 18 hingga 64 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Menerusi tiga tangkapan itu pihak ATM merampas sebuah kenderaan, 11 buah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai dalam matawang Malaysia, Myanmar dan Thailand dengan keseluruhan rampasan bernilai RM36,407.

Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Balai Polis Nibong untuk tindakan lanjut.

Pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara daripada dicerobohi dan tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan aktiviti jenayah rentas sempadan.