Skip to main content

Sukan

Arsenal akhirnya tamatkan kemarau 22 tahun, juarai EPL 2025/2026

Sumber: Arsenal
Gelaran ini merupakan kejuaraan liga ke-14 Arsenal, menjadikan mereka antara kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak England. - Foto Facebook/Arsenal

ARSENAL akhirnya menamatkan penantian panjang selama 22 tahun untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim 2025/2026.

Mereka disahkan sebagai juara selepas perlawanan di antara Manchester City dan Bournemouth berakhir dengan keputusan seri 1-1, pada Selasa.

Skuad kendalian Mikel Arteta kini mendahului liga dengan kelebihan empat mata berbaki satu perlawanan, sekali gus menjadikan aksi terakhir menentang Crystal Palace sebagai simbolik “pertabalan” juara.

Kejayaan ini hadir selepas Arsenal mencatat kemenangan 1-0 ke atas Burnley, memaksa Manchester City meraih kemenangan untuk mengheret perlumbaan ke perlawanan terakhir - namun skuad kendalian Pep Guardiola itu gagal berbuat demikian.

Arsenal sebelum ini hanya dilihat sebagai pasukan “kaki bungkus” selepas menamatkan saingan sebagai naib juara dalam tiga musim berturut-turut.

Namun musim ini, mereka akhirnya berjaya menamatkan kemarau kejuaraan liga sejak musim 2003-2004, ketika era Arsene Wenger yang menyaksikan pasukan itu menamatkan musim tanpa kekalahan.

Gelaran ini merupakan kejuaraan liga ke-14 Arsenal, menjadikan mereka antara kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak England, di belakang Manchester United (20) dan Liverpool (20).

Kejayaan ini juga menjadi trofi utama pertama Arsenal sejak Piala FA 2020, musim pertama Arteta sebagai pengurus.

 

 

Must Watch Video

Advertisement