Jadi suatu era baharu di dalam lanskap ekonomi Malaysia baharu sahaja bermula: GST (Goods and Services Tax, ataupun cukai barangan dan perkhidmatan). Tidak perlu kami panjangkan lagi isu ini memandangkan perkara utama yang releven bagi Drebar adalah kesannya pada harga kereta dan perkara-perkara berkaitan.

Jika anda agak hairan tentang mengapa tiada syarikat kereta yang dapat memberikan kata putus sama ada harga kenderaan mereka akan turun atau naik, ia memang suatu persoalan yang meresahkan. Susah sangat ke nak buat keputusan?

Soalnya, persaingan industri automatif adalah sangat kompetitif. Oleh itu, segala tindak tanduk korporat (selalunya) adalah dengan melihat kepada kesannya kepada buku kira-kira syarikat; permintaan pelanggan, dan juga berdasarkan apa yang pesaing mereka lakukan.

Dengan itu, kami percaya syarikat kereta lebih cenderung untuk melihat apa yang dilakukan pesaing mereka sebelum bertindak. Honda bertindak dahulu dengan mendedahkan kepada pihak media mengenai penstrukturan semula harga-harga jualan kenderaan mereka selepas pelaksanaan GST. Dan beritanya positif.

Honda Malaysia mengumumkan bahawa model-model Pemasangan Tempatan (CKD) Honda seperti Jazz, City, Civic, CR-V, Accord dan HR-V akan mengalami penurunan harga sebanyak antara RM500 sehingga RM2,500 (seperti yang tertera di dalam senarai di bawah).
Model HondaSemenanjung Malaysia
MODELVARIANHarga Di Atas Jalan sebelum GST
(RM)
Harga baharu (pasca GST)
(RM)
Jazz1.5L S72,813.5071,774.80
1.5L E79,813.5078,756.80
1.5L V87,813.5086,985.70
City1.5L S75,813.5074,007.50
1.5L S+78,813.5077,124.40
1.5L E83,813.5082,269.50
1.5L V90,813.5089,467.80
HR-V1.8L S99,815.3098,690.40
1.8L E108,815.30108,027.10
1.8L V118,815.30118,229.10
Civic1.8L S113,815.30113,198.70
2.0L S125,815.30124,780.30
2.0L Navi132,815.30132,210.70
CR-V2.0L 2WD139,815.30138,069.70
2.0L 4WD150,815.30149,152.40
2.4L 4WD169,817.10167,887.80
Accord2.0L VTi139,830.60137,301.90
2.0L VTi-L149,830.60148,200.60
2.4L VTi-L174,834.20173,386.60
Odyssey2.4L EX228,023.00229,030.60
2.4L EXV248,023.00248,536.00

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno menerangkan, “Harga alat ganti juga akan dikurangkan dengan purata sebanyak 3.7% untuk semua model. GST bagaimanapun akan ditambah ke dalam kos buruh. Tetapi, memandangkan harga alat ganti telah dikurangkan, kami menganggarkan kos keseluruhan penyelenggaraan akan turun sebanyak 2% - 4% bergantung kepada model.”

Mereka yang menanam impian untuk membeli Odyssey pula harus ambil perhatian bahawa harga MPV tersebut telah naik. Sumber kami di Honda Malaysia berkata bahawa sebagai model yang diimport sepenuhnya, kenaikan harga bagi model itu tidak dapat dielakkan.

Sumber yang sama juga berkata bahawa penurunan harga ini adalah kesan terus daripada pelaksanaan GST dan bukannya langkah jangka pendek untuk mengurangkan impak cukai baharu ini kepada masyarakat. Menurutnya, GST berjaya untuk membolehkan pihak HMSB (Honda Malaysia Sdn. Bhd.) menjadikan unit-unit CKD lebih murah dari sebelumnya tanpa perlu menjejaskan margin keuntungan syarikat dengan begitu banyak.

Kami akan teruskan dengan laporan harga jualan kereta jenama-jenama pengeluar lain di Malaysia pasca-GST dalam waktu terdekat ini.