Skip to main content

Malaysia

AWANI Talk Series dilancar, perkukuh peranan media sebagai penghubung masyarakat

AWANI TALK SERIES
Pelancaran AWANI Talk Series turut diserikan dengan sesi perkongsian melibatkan beberapa panel dan tokoh jemputan yang membincangkan isu semasa serta masa depan landskap media dan masyarakat. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Astro AWANI hari ini melancarkan AWANI Talk Series, sebuah platform wacana baharu yang menghimpunkan pelbagai suara dan idea bagi memperkukuh peranan media bukan sahaja sebagai penyampai berita, tetapi juga sebagai penghubung kepada masyarakat.

Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Ariffin berkata, inisiatif itu menjadi payung lebih menyeluruh yang menyatukan pelbagai siri dialog dan platform kepimpinan pemikiran yang pernah dianjurkan Astro AWANI sebelum ini.

Menurut beliau, AWANI Talk Series mencerminkan komitmen Astro AWANI untuk memperkukuh kedudukannya bukan sahaja sebagai jenama berita yang melaporkan kepada rakyat, tetapi juga yang mendekati serta melibatkan rakyat secara lebih dekat.

“Dalam AWANI Talk Series, kita akan menghimpunkan seberapa ramai individu daripada pelbagai latar belakang untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat dan perspektif.

“Kita akan pakejkan perbincangan ini untuk disiarkan di Astro AWANI dan diperluaskan menerusi platform media sosial termasuk YouTube. Objektif kita adalah membawa isu-isu yang dekat dengan masyarakat, bukan semestinya untuk mencari penyelesaian, tetapi sekurang-kurangnya menyediakan platform untuk menyedarkan rakyat mengenai sesuatu isu,” katanya ketika berucap pada pelancaran AWANI Talk Series di All Asia Broadcast Centre (AABC), Bukit Jalil, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zaiful berharap AWANI Talk Series dapat berkembang menjadi platform lebih luas yang merangkumi pelbagai kelompok masyarakat di seluruh negara termasuk pemilik perniagaan, pelajar, pekerja, komuniti bandar dan luar bandar serta golongan muda.

Pelancaran AWANI Talk Series turut diserikan dengan sesi perkongsian melibatkan beberapa panel dan tokoh jemputan yang membincangkan isu semasa serta masa depan landskap media dan masyarakat.

Presiden Pertubuhan Integriti dan Governan Malaysia (MIG), Datuk Seri Akhbar Satar menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah positif yang membuka ruang kepada perbincangan lebih terbuka melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, gabungan panel daripada generasi berbeza mampu mencantumkan idea serta perspektif yang lebih menyeluruh dalam aspek governan dan pembangunan negara.

Sementara itu, Profesor Adjung, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Prof Zaharom Nain berkata forum seperti itu wajar diteruskan kerana dapat menggalakkan perbincangan merentas generasi serta memberi peluang kepada lebih ramai pihak menyuarakan pandangan.

“Perbincangan seperti ini diperlukan kerana ketika ini banyak perbincangan berlaku secara cetek. Dengan adanya forum sebegini, lebih ramai boleh menyuarakan pandangan dan membincangkan isu secara lebih mendalam,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata forum seperti AWANI Talk Series penting dalam mendepani era maklumat pantas dan naratif tular, dengan menyediakan ruang kepada perbincangan yang lebih mendalam serta peluang kepada khalayak untuk berinteraksi secara langsung dengan panel jemputan.

AWANI Talk Series dimulakan dengan dua sesi diskusi yang menghimpunkan enam panel jemputan merentasi pelbagai bidang kepakaran, membincangkan isu rasuah dalam era tular serta kedudukan berkecuali Malaysia dalam landskap geopolitik dunia yang semakin terpolarisasi, sekali gus mencerminkan aspirasi platform itu untuk menjadi ruang dialog lebih kritikal, inklusif dan dekat dengan denyut nadi masyarakat.
 

Must Watch Video

Advertisement