ALOR SETAR: Polis Kedah mengesan terdapat individu yang menjual mercun dan bunga api di kawasan bazar Ramadan dan rumah-rumah persendirian.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sekalipun pintu sempadan masih ditutup, namun pihaknya mengesan penjualan mercun dan bunga api masih berleluasa dipercayai menggunakan stok lama.

Katanya, bagi mengelak ditahan polis, modus operandi individu atau kumpulan yang menjual mercun ini sentiasa bergerak dan berpindah lokasi.

Sehubungan itu, polis, kata Hasanuddin, tidak akan berkompromi sekiranya mengesan terdapat penjualan barangan berkenaan sama ada di mana-mana premis atau secara bergerak.

“Kalau pihak kami dapat maklumat (cara penjualan) kita akan ambil tindakan seperti mana yang ada dalam undang undang, kita tidak akan kompromi tambahan lagi dengan mercun.

“Walaupun mercun tersebut datangnya dari negara seberang atau negara lain… saya percaya bahawa stok yang ada sebelum ini masih ada berlegar dalam ini tak habis dijual,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah antara Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad kepada Senior Asisten Komisioner G S Suresh Kumar di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, pada Isnin.

Menurut Hasanuddin, setakat ini, Ops Benteng masih berjalan di kawasan sempadan negara selain pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di lokasi tertentu di negeri ini.

Malah kawalan sempadan diperketatkan terutama lorong tikus bagi mengekang penyeludupan mercun dan bunga api dari negara jiran, Thailand.